Rampasan ketum meningkat 60 peratus - Utusan Malaysia

Rampasan ketum meningkat 60 peratus

SURINA Saad (empat dari kiri) pada majlis pelupusan barang kes dadah dan ketum siri 2 2020 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Rampasan daun ketum di negeri ini meningkat sebanyak 60 peratus bagi temboh Januari hingga Ogos tahun ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, rampasan dan aktiviti penyeludupan tersebut akan berterusan selagi undang-undang berkaitan penanaman pokok berkenaan tidak diubah.

Katanya,  pihaknya juga berjaya merampas 98, 250 kilogram daun ketum dan menahan 503 individu yang didakwa atas Akta Racun 1952 bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Julai tahun ini.

“Sebenarnya, selagi pokok ketum dibenarkan untuk ditanam, selagi itu aktiviti ini akan berterusan. Jadi kami berharap agar undang-undang dari segi penyeludupan dan penggunaan ketum dapat diubah.

“Kami akan cuba sedaya upaya untuk membendungnya. Selagi undang-undang tidak meletakan hukuman yang tinggi maka kita tidak dapat buat apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelupusan barang kes dadah dan ketum siri 2 2020, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis di Kuarters Perumahan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar di sini hari ini.

Sementara itu, barang kes yang dilupuskan termasuklah dadah sejumlah 211.38 gram, ubat batuk 715.28 liter, cecair ketum sebanyak 1,497.58 liter dan daun ketum seberat 30 tan dengan nilai keseluruhan RM1.76 juta.

Difahamkan, Surina secara peribadi telah berjumpa 10 ketua penyeludup ketum dan meminta mereka meninggalkan kegiatan tersebut

Selain itu, beliau juga dilaporkan turun sendiri ke enam kawasan tanaman pokok ketum di negeri ini bagi meminta mereka menebangnya.

Sebelum ini, terdapat cadangan memperkenalkan peruntukan lebih ketat bagi mengawal penanaman, penghasilan, pengedaran serta penggunaan ketum menerusi undang-undang serta hukuman lebih berat.

Namun pada Julai lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, cadangan pindaan Akta Racun 1952 akan ditangguhkan bagi memberi ruang kepada penubuhan dua jawatan kuasa teknikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya