Ramly terlibat 50 pertempuran - Utusan Malaysia

Ramly terlibat 50 pertempuran

RAMLY Mohd. Sharif menunjukkan gambar lama semasa dia berkhidmat sebagai askar Melayu ketika ditemui Utusan Malaysia di Titi, Jelebu, baru-baru ini. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: “Nyawa dipertaruhkan, setiap kali pertempuran, saya hanya ingat akan mati, semua demi negara.”

Itu luahan bekas anggota askar Melayu, Ramly Mohd. Sharif, 89, ketika mengenang tugasnya mempertahankan negara daripada ancaman komunis sejak tahun 1949.

Menurut Ramly, dia memasuki perkhidmatan askar Melayu pada November 1949 dan berkhidmat selama lapan tahun, namun sepanjang tempoh tersebut, dia terlibat dalam kira-kira 50 pertempuran dengan komunis.

“Saya bersyukur sepanjang bertugas bersama askar Melayu, saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Saya anggap ia sebagai satu keajaiban, namun sedih apabila teringat kepada rakan-rakan yang telah terkorban dalam pertempuran.

“Saya antara askar Melayu termuda ketika itu kerana memasuki tentera pada usia 16 tahun. Sepanjang lapan tahun itu, saya banyak menghabiskan masa dalam hutan memburu komunis,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Titi, Jele­bu dekat sini baru-baru ini.

Mengimbau kembali, Ramly berkata, selepas memohon menjadi anggota tentera, dia telah menjalani latihan selama lapan bulan di Port Dickson sebelum diserap ke Batalion Ketiga Askar Melayu.

“Pada waktu itu, kedengaran suara-suara mengatakan saya masih tidak cukup umur, namun ada pegawai memilih saya kerana melihat saya bersemangat dan matang.

“Selepas enam bulan, saya dihantar ke Kem Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan dan berulang-alik menjalani operasi dalam hutan selama beberapa bulan. Pada 1951, saya juga dipilih menjadi salah seorang anggota dalam platun bagi satu operasi di Endau, Mersing, Johor,” katanya.

Tambahnya, selepas lapan tahun berkhidmat sebagai tentera, dia mengambil keputusan berhenti dan menerima tawaran diberikan kerajaan.

“Tawaran diberi kerajaan kepada askar ialah sama ada mahu terus berkhidmat atau berhenti berikutan keadaan pada waktu itu agak aman, jadi saya mengambil pilihan berhenti.

“Susulan perkhidmatan diberikan, saya dianugerahkan pingat oleh kerajaan British dalam satu majlis di Ipoh pada 1956. Berbekalkan wang tamat perkhidmatan berjumlah RM750, saya pulang ke Kuala ­Klawang dan melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara kehidupan,” katanya.

Ramly berkata, dia berbangga dapat menyumbang khidmat mempertahankan ibu pertiwi negara sekali gus membawa kepada kemerdekaan negara.

Malah, dia juga bersyukur kerana berpeluang menyaksikan pembangunan berterusan yang dicapai Malaysia.

“Ketika zaman Jepun, hidup memang sukar, nak makan pun sangat susah, ketika komunis bermaharajalela pula, keadaan memang teruk, rakyat hidup dalam ketakutan.

“Saya puas menikmati kehidupan di zaman-zaman berbeza dan kini merasa bangga masih dapat melihat usia kemerdekaan negara yang sudah mencecah 63 tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya