Projek Bukit Changgang beri manfaat kepada penduduk - Utusan Malaysia

Projek Bukit Changgang beri manfaat kepada penduduk

MOHD. Ansor Sarmidi (depan, dua dari kiri) bersama S. Pushparajan (depan, dua dari kanan) menunjukkan dokumen perjanjian persefahaman selepas Menandatangani Perjanjian Usahasama Pembangunan Perumahan di antara PPK Dengkil dengan Syarikat Prima Rakan Sdn. Bhd. di Putrajaya hari ini. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Status tanah pertanian yang dinaik taraf menjadi projek perumahan seluas 1.2 hektar di Bukit Changgang, Dengkil tidak menjadi isu dalam kalangan penduduk dekat sini.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Dengkil, Mohd. Ansor Sarmidi berkata, projek usaha sama bersama syarikat perumahan itu akan memberi manfaat besar apabila pulangan berjumlah RM2.27 juta dijangka diperoleh PPK itu.

Jelasnya, usaha sama itu sebagai mengorak langkah ke hadapan menerusi projek pembangunan perumahan bagi memajukan semula tanah-tanah milik PPK.

“Asalnya status tanah ini adalah pertanian, namun selaras dengan kehendak semasa bidang industri perumahan dipilih selari dengan pembangunan infrastruktur kawasan setempat.

“Kita beli tanah dahulu dengan harga RM600,000 seluas tiga ekar (1.2 hektar) dan kami yakin usaha sama ini akan mendapat hasil yang lebih baik. Dalam dua tahun projek akan siap sebab projek sudah bermula, sekarang,” katanya di sini hari ini.

Majlis Menandatangani Perjanjian Usaha sama Perumahan antara PPK Dengkil dengan Syarikat Prima Rakan Sdn. Bhd. diwakili oleh Mohd. Ansor manakala syarikat perumahan itu diwakili Pengarah Urusan, S. Pushparajan.

Menerusi perjanjian usaha sama itu, pihak syarikat menyerahkan sebanyak RM200,000 sebagai cagaran kepada PPK Dengkil sekiranya projek perumahan tersebut tidak berjaya disiapkan dalam masa ditetapkan.

Nilai keseluruhan projek perumahan itu  sebanyak RM10.2 juta dengan sebanyak 23 rumah merangkumi rumah teres dua tingkat dan rumah teres berkembar akan dibangunkan di Bukit Changgang.

PPK Dengkil merupakan antara agensi yang terbaik di Selangor apabila mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM1.2 juta setahun bagi perniagaan utama stesen minyak dan sewaan aset bangunan kedai dan rumah.

Dalam pada itu, Mohd. Ansor mengalu-alukan kepada 1,907 ahli PPK yang berdaftar memiliki rumah itu dengan anggaran harga sebanyak RM350,000 bagi teres dua tingkat manakala, RM 400,000 bagi rumah berkembar setingkat.

“Projek ini juga akan dibuka kepada orang luar yang berminat memiliki kediaman di kawasan yang sangat istimewa kerana mempunyai nilai komersial tersendiri.

“Tambahan pula, kedudukannya berhampiran pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan yang dibangunkan selari dengan kemajuan pertanian moden kawasan sekitar,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN