REMBAU: UMNO wajar mendapat pembahagian kerusi paling banyak bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berdasarkan faktor kekuatan, pengaruh dan kepemimpinan.
Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, buat masa ini, difahamkan senarai calon sedang dimuktamadkan dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa beberapa hari lagi.
Tambahnya, perbincangan mengenai pembahagian kerusi berkenaan kini di peringkat akhir dan diharap tidak berlaku pertindihan dalam kalangan UMNO dan juga rakan dalam UMNO.
“Saya harap tidak ada apa-apa pertindihan supaya dapat diadakan pengagihan secara adil dan saksama dengan parti-parti lain, tapi saya harap juga UMNO akan bertanding majoriti kerusi sebab kalau lihat dari kekuatan bilangan kerusi diberikan kepada UMNO Sabah, saya rasa perlu lebih banyak.
“Formula itu kita serah kepada pucuk pimpinan tetapi daripada segi prinsip dia, daripada segi kekuatan, daripada segi pengaruh, daripada segi kepemimpinan, saya rasa UMNO wajar terima kerusi yang paling banyak,” katanya.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Biduanda, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Rembau, dekat sini hari ini.
Mengulas mengenai gesaan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini yang meminta pemimpin UMNO dalam Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera berundur daripada jawatan masing-masing, beliau berkata, itu bergantung kepada keputusan Majlis Tertinggi parti.
Jelasnya, jika Majlis Tertinggi UMNO membuat pendirian untuk tidak lagi mendukung kerajaan sedia ada, maka itu adalah arahan untuk tidak menyertai jemaah menteri kerajaan PN.
“Setakat ini, Majlis Tertinggi UMNO yang merupakan badan tertinggi parti lebih tinggi daripada mana-mana individu telah buat keputusan untuk mendukung kerajaan sedia ada, itu adalah pendirian kita dan kita kena buat pendirian secara kolektif,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya calon Perdana Menteri daripada UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang kata Khairy, belum terdapat cadangan mahupun perbincangan mengenainya.
“Selagi kita mendukung kerajaan sedia ada, maka Perdana Menteri yang kita dukung adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin, soal PRU akan datang itu masih lagi dalam perbincangan,” katanya.
Namun secara peribadi, jelas Khairy, berdasarkan kewibawaan, beliau melihat tiada yang lebih berwibawa selain Muhyiddin, sama ada daripada UMNO, Pas atau daripada Bersatu.
“Kalau kita tengok daripada segi rakyat (penerimaan) telah diumumkan dapatan daripada badan penyelidikan dan itu adalah hakikat,” katanya. – UTUSAN