PRN Sabah: Diharapkan tiada lagi 'katak-katak' melompat - Utusan Malaysia

PRN Sabah: Diharapkan tiada lagi ‘katak-katak’ melompat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Wakil Rakyat yang dipilih rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diingatkan untuk tidak mementingkan diri sendiri dengan melompat ke parti lain kerana situasi itu boleh mencetuskan lagi krisis yang tidak berkesudahan.

Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, rakyat sentiasa memerhati dan menilai pendirian serta prinsip seseorang ahli dewan undangan negeri (ADUN) yang memenangi pilihan raya itu.

“Diharapkan tiada lagi ‘katak-katak’ yang cuba melompat sana sini bagi kepentingan diri sendiri. Ini masanya untuk anda untuk melaksanakan tugas sebagai Wakil Rakyat yang dipilih secara integriti. 

“Apa yang penting, jadilah ADUN yang amanah dan dedikasi serta melaksanakan segala janji sepanjang kempen PRN Sabah. Janganlah menjadi seorang Wakil Rakyat yang semasa berkempen sahaja dan pada waktu itu baru nampak muka. Berkhidmatlah kepada rakyat sepenuh masa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengesahkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai majoriti untuk menubuhkan Kerajaan Negeri Sabah yang baharu apabila berjaya memperoleh 38 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Keputusan itu menyaksikan Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tumbang apabila pakatan Warisan Plus memperolehi 32 kerusi.

Dalam pada itu, Mohd. Hairi menambah, kemenangan GRS dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Sabah menunjukkan keyakinan rakyat Sabah terhadap janji-janji atau manifesto yang diketengahkan.

Beliau berharap dengan kemenangan itu, Sabah akan terus maju dan cemerlang di bawah pentadbiran baharu yang diterajui oleh GRS dan BN,

“Kepada calon yang kalah, tolong hormati keputusan rakyat dan biarpun kalah, teruskan usaha untuk membantu rakyat di kawasan berkenaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya