JASIN: Kedegilan premis judi dalam talian beroperasi melalui ‘kaunter seluk’ untuk menjual kad tambah nilai berakhir apabila bekalan elektrik di premis itu dipotong bagi mengelakkan mereka beroperasi semula.
Pemotongan itu dilakukan dalam Op Dadu dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Merlimau dan Jasin.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, pemotongan elektrik ke atas 13 premis berkenaan dilaksanakan setelah pihaknya memberi amaran pada serbuan pertama Julai lalu.
“Premis-premis ini kebanyakannya menjalankan perniagaan lain di bahagian hadapan seperti kedai telefon, pakaian, kedai kopi dan menjual cakera padat video tetapi melakukan aktiviti ‘kaunter’ tambah nilai untuk berjudi di belakang.
“Kaunter terbabit adalah ruang kecil yang ditebuk pada pintu besi kedai untuk membolehkan pelanggan menyeluk tangan mereka membeli kupon tambah nilai judi daripada penjaga premis,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Mengulas lanjut, Mispani berkata, berdasarkan statistik Op Dadu, seramai 87 individu telah ditahan tahun lalu manakala 64 orang tahun ini.
“Daripada keseluruhan 151 yang ditahan, 82 telah dituduh manakala 40 lagi masih dalam siasatan dan kesemua pengusaha pusat judi yang ditahan berusia 23 hingga 56 tahun disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953,” katanya.
Sementara itu, dalam operasi sama, beliau berkata, polis turut menahan seorang lelaki penjaga kedai telefon bimbit yang menjual kupon tambah nilai judi kerana mengemukakan kad pengenalan palsu.
“Lelaki berkenaan mengemukakan kad pengenalan diri palsu dan akan disiasat mengikut Seksyen 25 Akta Pendaftaran Negara 2007 (Pindaan),” katanya.
Sementara itu, penduduk di Taman Muhibbah Utama, Merlimau yang enggan dikenali berkata, dia berharap pihak polis akan melakukan pemantauan berterusan untuk mengelak aktiviti judi kembali berleluasa.
“Di kawasan Merlimau sahaja, terdapat hampir 10 pusat judi yang beroperasi secara sorok-sorok melalui ‘kaunter seluk’ ini yang dilihat lebih sukar dikesan pihak berkuasa.
“Penduduk sudah tidak tahan lagi dengan aktiviti ini yang beroperasi 24 jam sehari malah ada kedai yang dibuka sehingga pukul 3 pagi walaupun pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini,” katanya. – UTUSAN