PKP punca rezeki pelukis titik hitam - Utusan Malaysia

PKP punca rezeki pelukis titik hitam

MOHAMAD Yusri Shah Wan Shahrom Shah menunjukkan lukisan kerabat diraja Selangor yang berasaskan seni lukisan titik pen hitam ketika membuka gerai di Institut Latihan Perindustrian Jugra di sini baru-baru ini.-UTUSAN/ ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT:Umum sedia maklum Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan sejak Mac lalu memberi kesan berikutan banyak perniagaan terjejas.

Malah, ada sesetengah perniagaan terpaksa gulung tikar dan menghentikan operasi selain mengurangkan tenaga pekerja.

Bagaimanapun, bagi pelukis muda, Mohamad Yusri Shah Wan Shahrom Shah,24, dia langsung tidak menyangka bahawa pelaksanaan PKP bertukar menjadi pendapatannya dalam seni lukis titik.

Menurut Mohamad Yusri Shah berasal dari Jugra, Banting, pada awalnya, dia menjalankan perniagaan bercorak seni lukis dan lukisan digital.

Malah katanya, sebelum PKP, perniagaannya agak positif dan mendapat perolehan perniagaan yang memberangsangkan.

“Namun, saya agak buntu kerana kedai yang terletak di Bazaar Banting terpaksa memberhentikan operasi seketika sebagaimana perniagaan lain. Ini kerana pendapatan kedai mula merudum kerana semua kerja perlu dibuat daripada rumah.

“Bagaimanapun, saya tidak duduk sahaja dan mengambil peluang dengan mengasah bakat dalam seni lukisan titik atau pointilis.

“Perniagaan mula kembali pulih dan pendapatan meningkat berikutan menerima tempahan melalui laman sosial Facebook,” katanya kepada pemberita semasa membuka gerai pada Mesyuarat Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat di Jugra baru-baru ini.

Dalam pada itu,Mohamad Yusri yang merupakan graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus berkata, lukisan pointilis memerlukan ketekunan selain kesabaran.

Jelasnya, ini kerana lukisan wajah dan objek yang perlu di titik mampu mencecah hingga ribuan titik mengikut saiz lukisan.

“Harga setiap lukisan bergantung kepada saiz objek yang memerlukannya membuat titik demi titik, yang mana tempoh diambil kadang kala dari pagi hingga ke petang.

“Keluarga sudah lali dengan kerja saya yang leka dengan aktiviti membuat titikan dakwat pen yang perlu dilakukan dengan penuh teliti.

“Malah, sebagai pelukis inilah kerja saya sepenuh masa selain masih menyambung pengajian dalam bidang Sarjana Seni Halus di UiTM,”katanya.

Tambah pemilik kedai Art Dot Galeri Dan Studio Seni, sebagai pelukis muda, dia merasakan seni lukis pointilis tersebut menjadi identiti lukisan dirinya jika orang ramai ingin mengenalinya.

Orang ramai yang ingin mengabdikan diri mereka dalam bentuk ribuan titik boleh menghubungi Mohamad Yusri di Facebook dengan nama shahraudhahofficial atau WhatsApp di talian 0178486129.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN