KUALA LUMPUR: Bukan setakat dilatih di kem-kem komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pegawai dan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kini dilengkapi peralatan risikan canggih bagi memerangi sindiket pemburuan haram hidupan liar habis-habisan.
Menggunakan peralatan termasuk kamera tersembunyi, pasukan elit Perhilitan dinamakan Special Protected Area Response Team (Sparta) yang ditubuhkan dua tahun lalu itu akan mengumpul maklumat dan membuat analisis seterusnya menjejaki tauke sindiket pemburuan haram terbabit.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, anggota-anggota Sparta menjalani latihan bersama Grup Gerak Khas (GGK) dan VAT 69 dengan diberikan pendedahan tentang teknik-teknik pengesanan di hutan dan tangkapan penjenayah.
“Pasukan ini ditubuhkan dua tahun lalu. Apabila mendapat laporan daripada pasukan rondaan mengenai kesan-kesan baharu pemburuan haram, anggota-anggota Sparta akan masuk untuk memusnahkan jerat baharu dan membuat tangkapan.
“Anggota pasukan elit ini juga dilengkapi senjata moden,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka berikutan aktiviti pemburuan haram masih berlaku di beberapa kawasan hutan di negeri berkenaan.
Kegiatan itu dilaporkan berlaku di kawasan Endau Rompin dan Kahang melibatkan haiwan seperti kancil dan landak yang disyaki dijual untuk tujuan perubatan tradisional.
Baginda turut bertitah mahukan dalang di sebalik kegiatan pemburuan haram itu serta mereka yang terlibat diheret ke muka pengadilan. – UTUSAN