PUTRAJAYA: Pesalah rasuah semakin berleluasa dalam sektor kerajaan mahupun swasta kerana individu yang terlibat semakin berani melakukan perkara berkenaan walaupun pelbagai usaha pendakwaan di mahkamah dilakukan.
Tokoh Korporat, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, situasi itu menunjukkan rakyat masih belum faham tentang kesan bahaya amalan itu dan lebih membimbangkan apabila rasuah akan menjadi kebiasaan serta budaya dalam masyarakat.
Tegas beliau, pendidikan dan nilai moral perlu diterapkan sejak di bangku sekolah supaya amalan rasuah tidak dilihat sebagai satu kebiasaan contohnya seperti mencuri barang di sekolah.
“Kita perlu faham dalam konteks membasmi rasuah ada pelbagai bentuk, perlu ada kefahaman iaitu apa yang betul dan apa yang salah. Sebagai contoh, ada kefahaman dalam masyarakat selagi seseorang penyangak (tidak kira di mana-mana tempat) itu belum ditangkap polis itu tidak salah, sedangkan tidak betul (kefahaman) memang salah (rasuah) daripada segi undang-undang.
“Kalau kita sudah ambil dalam bentuk menerima atau memberi itu adalah salah tetapi tidak pula ditangkap, okay ke itu? Sudah tentu tidak okay. Kita perlukan proses pembelajaran bagi memahami apakah itu nilai hidup yang harus dipegang tidak kira muda dan tua serta mengelakkan diri daripada terjerumus rasuah supaya anak cucu kita faham, apabila besar dia ingat tentang perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan dialog kepemimpinan sempena Forum Anti Rasuah Kali Kedua yang dianjurkan oleh International Strategy Institute di sini semalam.
Mengulas lanjut, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri sejak 1987 itu berkata, sekiranya masih ada ahli parlimen di negara ini yang beranggapan budaya rasuah adalah perkara biasa dan bukan satu kesalahan, kesannya akan memberi impak besar pada sosio masyarakat di negara ini.
Baginya, soal pembasmian rasuah bukan berkaitan sistem pemantauan yang lemah namun, nilai masyarakat yang masih tidak kukuh dalam memahami implikasi jenayah kolar putih tersebut.
“Intisarinya menerima sesuatu kerana kerja yang kita buat dan kemudian dapat lebih daripada gaji itu adalah salah, interpretasinya rasuah sebab salah guna kuasa kerana gaji sudah dibayar sebab kita tuntut pula balasan (contohnya) untuk meluluskan (sesuatu projek) kalau ikut kriteria dah patut lulus,” ujarnya. -UTUSAN