PUTRAJAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah bahagian sebuah jabatan kerajaan bersama anak perempuan dan menantunya selepas disyaki menerima wang suapan bagi mempercepatkan siasatan dan rayuan untuk mengurangkan kompaun terhadap pemilik-pemilik bot nelayan.
Perintah tahanan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 18 September dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek yang berusia antara 32 hingga 59 tahun itu ditahan antara pukul 11.50 pagi hingga 12.10 tengah hari di Pejabat SPRM Putrajaya semalam ketika hadir memberi keterangan.
Jelasnya, suspek dipercayai telah meminta dan menerima suapan antara RM500 sehingga RM2,000 daripada pemilik-pemilik bot nelayan tempatan yang didepositkan ke dalam akaun anak perempuannya itu.
Katanya, suapan itu sebagai balasan untuk mempercepatkan tindakan siasatan serta rayuan bagi mengurangkan kompaun terhadap pemilik-pemilik bot nelayan yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 supaya pemilik bot nelayan terbabit mendapat semula bot-bot mereka yang telah ditahan.
Tambah sumber lagi, SPRM turut menyita wang tunai dianggarkan lebih RM21,000, barangan kemas dan jam tangan mewah.
Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Hasbilah Mohamad Salleh mengesahkan penahanan tersebut dan berkata suspek akan disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) dan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. -UTUSAN