Penganggur ke tali gantung - Utusan Malaysia

Penganggur ke tali gantung

MOHAMAD Hafizi Zainal Abidin dibawa keluar oleh pihak polis sebaik prosiding di Mahkamah Tinggi Muar hari ini, selesai dijalankan ke atasnya. UTUSAN/ NUR ALINA HASSAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Seorang penganggur hanya mampu tunduk membisu ketika mendengar keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang memutuskan hukuman mati selepas didapati bersalah mengedar dadah tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Hafizi Zainal Abidin, 29, dijatuhkan hukuman tersebut selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Selain itu, lelaki itu juga dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun bermula hari ini serta lima sebatan setelah didapati memiliki dadah jenis methamphetamine.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mengedar dadah jenis heroin dan monoacetylmorpines seberat 17.8 gram di Lebuhraya AMJ Kesang, Daerah Tangkak.

Bagi pertuduhan kedua pula, pemuda itu didapati bersalah kerana memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 8.06 gram di lokasi sama.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan pada 12 September 2017 pada pukul 6 petang.

Pertuduhan mengedar dadah dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana manakala memiliki dadah pula dibuat mengikut Seksyen 39(A) ADB.

Terdahulu, Hakim Datuk Halijah Abbas dalam penghakiman berkata, kewujudan heroin di tubuh tertuduh pada hari kejadian telah membuktikan mengenai status pemilikan barang kes berkenaan.

Katanya lagi, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie bagi kes ini.

“Tiada sebab untuk mengatakan dadah tersebut bukan milik kamu, maka tertuduh telah dianggap mengedar dadah dan mahkamah memutuskan hukuman mati mandatori,” katanya.

Seramai enam saksi pendakwaan dipanggil bagi memberikan keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rasyidah Murni Adzmi manakala tertuduh diwakili peguam bela, S. Vijayaretnam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya