BUTTERWORTH: Lebih 100 penduduk Kondominium Luminari di sini menyuarakan rasa tidak puas hati dan membantah tindakan segelintir pemilik di situ yang menjadikan kediaman mereka sebagai homestay.
Rata-rata penduduk menyurakan kebimbangan ekoran orang luar yang menyewa homestay secara harian melakukan vandalisme dan menyalahgunakan kemudahan yang disediakan.
Salah seorang penduduk, V. Vikneshwaran,33, berkata, dia sekeluarga juga tidak dapat tidur nyenyak terutama pada hari minggu kerana terdapat homestay di situ dijadikan lokasi parti liar.
“Setiap hari Jumaat sehingga Ahad, kami terpaksa bersabar mendengar bunyi muzik yang kuat dan suara penyewa yang bergelak ketawa sehingga pukul 4 pagi.
“Saya dan isteri berpindah ke sini sejak lapan bulan lalu dan kami terpaksa berdepan dengan masalah ini hampir setiap minggu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Salah seorang penduduk, Mohd Eafendy Razali, 38, pula berkata, terdapat penyewa yang datang secara rombongan menggunakan bas.
“Ada yang masuk secara berkumpulan dan memang mereka buat buat bising sehingga dua anak saya pun sukar untuk tidur.
“Selain itu, ada juga golongan belia yang menyewa untuk berparti malah ada penduduk nampak mereka mengambil minuman keras dan mengambil bahan terlarang di balkoni,” katanya.
Sementara itu, Peter Chin,43, berharap kerajaan negeri mengambil tindakan drastik memandangkan lebih 40 kediaman di kondominium terbabit didakwa dijadikan homestay.
“Kita tidak pasti sama ada homestay ini beroperasi secara sah atau tidak tetapi, keselamatan kami kini terancam kerana pernah berlaku pergaduhan antara penyewa dan pengawal keselamatan pada 17 September lalu.
“Bayangkan ada homestay yang disewa walaupun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak April lalu kerana harganya murah iaitu serendah RM60 semalam,” katanya. -UTUSAN