Pendaki cemari hutan dengan sampah - Utusan Malaysia

Pendaki cemari hutan dengan sampah

SISA sampah yang ditinggalkan segelintir pendaki di laluan pendakian ke puncah Gunung Berembun di Pantai, Seremban.-GAMBAR FACEBOOK SYAHRUL FOZZAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Negeri Sembilan antara negeri bertuah kerana mempunyai banyak lokasi ekopelancongan yang menjadi daya tarikan kepada pencinta alam, penggemar aktiviti lasak termasuk golongan pendaki.

Tidak jauh dari ibu kota, Kuala Lumpur, sudah tentu lokasi-lokasi popular di negeri ini seperti Gunung Angsi di Kuala Pilah, Gunung Datuk di Rembau serta Gunung Berembun di Seremban menjadi pilihan pendaki terutama dari Lembah Klang.

Bagaimanapun, khazanah alam kurniaan tuhan itu seolah-olah tidak dihargai apabila ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab tanpa rasa bersalah meninggalkan sisa sampah di dalam hutan.

Baru-baru ini tular di media sosial, apabila seorang pengguna akaun Facebook, Syahrul Fozzan memuat naik beberapa gambar longgokan dan sisa-sisa sampah di laluan pendakian Gunung Berembun serta di Gua Kambing yang merupakan pusat pemeriksaan atau ‘checkpoint’ sebelum ke puncak gunung tersebut.

“Menyakitkan hati, menyentap jiwa, merosakkan mata, bila aku sampai dekat Gua Kambing, kelihatan banyak sampah yang ditinggalkan di situ, bukan habis di situ sahaja, sepanjang trek pun banyak sisa-sia sampah. Aku pelik betul dengan dengan jenis manusia yang tidak reti nak jaga kebersihan,” luahnya menerusi akaun Facebook miliknya itu.

Kejadian pembuangan sampah di kawasan taman negeri dan eko-rimba di Negeri Sembilan bukanlah kali pertama berlaku, baru-baru ini media turut melaporkan sebanyak 15 kilogram sampah dibawa keluar dari kawasan Air Terjun Lata Dinding di Jelebu oleh sebuah kumpulan pendaki.

Sementara itu, Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaluddin berkata, pihaknya telah maklum dan mengakui memang berlaku longgokkan sampah seperti yang tular tersebut.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pengunjung dan pendaki supaya lebih bertanggungjawab dan berdisiplin dan sentiasa menjaga kebersihan ketika memasuki kawasan hutan lipur di negeri ini.

“Ini adalah tanggungjawab semua, kakitangan Jabatan Perhutanan terhad bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan yang luas, jadi kami memang mengharapkan kepada pengunjung untuk sama-sama menjaga kebersihan.

“Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan boleh mengambil tindakan tutup sahaja dan sekat sebarang aktiviti pendakian lebih-lebih lagi ketika penularan pandemik Covid-19 masih berlaku tapi jika kami tutup siapa yang akan rugi? Kami tidak menghalang aktiviti-aktiviti di hutan lipur kerana kami tahu masyarakat amat memerlukan aktiviti-aktiviti sebegini,” katanya.

Sehubungan itu, bagi mengelakkan perkara tersebut terus berulang, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan semua pegawai-pegawai perhutanan yang bertugas di hutan-hutan lipur di negeri ini untuk membincangkan langkah terbaik yang boleh diambil terutama berkaitan kebersihan.

“Kami juga ada buat permohonan daripada kerajaan negeri untuk mengenakan bayaran deposit sampah kepada pendaki-pendaki tetapi belum ada keputusan, deposit sampah ini lebih bertujuan untuk membentuk kesedaran kepada pendaki itu sendiri. Penguatkuasa Jabatan Perhutanan juga akan bergerak lebih aktif selepas terutama pada hari cuti untuk memantau perkara ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN