KOTA BHARU: Hati mana tidak kecewa! Selepas berpuluh tahun berusaha meyakinkan rakyat Sabah supaya menerima perjuangan Pas, pucuk pimpinan tiba-tiba memutuskan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pula.
Rasa tidak puas hati bagaikan sudah tidak dapat dibendung apabila terdapat perwakilan mengambil kesempatan meluahkannya sambil menghentam parti sekutu dalam sesi perbahasan Muktamar Dewan Pemuda Pas Ke-61, di sini semalam.
Namun, protes tersebut dilakukan secara berkias. Perwakilan Pemuda Pas Johor misalnya menyindir rakan-rakan sekutu menerusi dua rangkap pantun berbunyi;
Dagang Pak Malau dagang berlipat,
Dagang hamba mengkuang layu,
Apa guna kita bermuafakat,
Jika kerusi semua kau sapu.
Dari Sabah pergi ke Perlis,
Singgah sebentar di Pasir Salak,
Walaupun hati rasa terguris,
Keputusan pimpinan tetap kami wala’.
Pendekatan sama turut diambil perwakilan Pemuda Pas Perak dengan pantun berbunyi;
Hasrat di hati menabur bakti,
Dikatakan kongsi tapi tak bagi,
Kami Pemuda sentiasa mentaati,
Kalam Murabbi disanjung tinggi.
Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang senada dengan mereka pula, dilihat lebih keras apabila mencabar parti sekutu ‘berkorban’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), sebagaimana Pas ‘dikorbankan’ ketika PRN Sabah.
Pengorbanan itu kata beliau, dengan cara memberi laluan mudah kepada Pas untuk bertanding di kesemua 40 kerusi Parlimen yang ada di empat negeri iaitu Kelantan (14 kerusi); Terengganu (8 kerusi); Kedah (15 kerusi) dan Perlis (3 kerusi).
“Kalau kita boleh bersabar di Sabah, kenapa tidak orang lain juga bersabar di negeri-negeri yang saya sebutkan ini?
“Kita wala’, kita yakin, kita patuh dan kita taat pada pemimpin namun kita juga mahu berikan isyarat kepada parti-parti lain.. kesabaran ini ada hadnya.. jangan diuji kesabaran Pemuda Pas,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan malam tadi.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memberi laluan sepenuhnya kepada parti lain dalam PN untuk bertanding di PRN Sabah bagi mengelak pertembungan sesama sendiri.
Pengumuman di saat-saat akhir menjelang hari penamaan calon itu mengecewakan akar umbi memandangkan beberapa pemimpin kanan sebelum ini menguar-uarkan hasrat Pas untuk bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UTUSAN