BESUT: Seorang pelajar tingkatan satu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Peroi di Kuala Besut di sini mati lemas ketika mandi manda bersama ibu saudaranya di Air Terjun Lata Tembakah hari ini.
Mangsa, Nor Balqis Natasya Mohd. Nazri, 13, dari Kampung Tok Saboh di sini dikatakan berkunjung ke lokasi itu bersama ibu saudaranya dan seorang lelaki kira-kira pukul 10.15 pagi.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, sebelum kejadian ketiga-tiga mereka dikatakan naik di peringkat satu air terjun itu.
Bagaimanapun, katanya, mangsa bersama ibu saudaranya lemas di lubuk sedalam kira-kira lima meter selepas kesemua mereka turun ke dalam sungai.
“Ibu saudaranya diselamatkan oleh rakan (ibu saudaranya) manakala mangsa tenggelam ke dasar lubuk.
“Dengan bantuan orang awam yang berada di kawasan sekitar, mayat Nor Balqis Natasya berjaya dijumpai 10 minit kemudian dan difahamkan telah meninggal dunia ketika dibawa ke tebing sungai,” katanya di sini.
Abdul Rozak berkata, siasatan awal tidak menemukan sebarang kesan kecederaan pada badan mangsa dan mayatnya dibawa ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut.-UTUSAN