Pelajar sekolah kena saman - Utusan Malaysia

Pelajar sekolah kena saman

Polis menjalankan pemeriksaan motosikal menerusi Ops Didik di SMK Kulai Besar di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Sebanyak 24 saman dikeluarkan terhadap 14 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kulai Besar di sini atas pelbagai kesalahan trafik menerusi Ops Didik yang diadakan pada hari ini. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintenden M. Kumarasan berkata, kesalahan itu termasuklah tidak memakai topi keledar dan tidak memiliki lesen memandu.

Katanya, tindakan itu dibuat ekoran pelaksanaan Ops Didik yang bertujuan untuk mendidik pelajar khususnya mereka yang menunggang motosikal ke sekolah. 

“Sebanyak 47 motosikal diperiksa dengan 14 daripadanya ditahan kerana penunggang tidak memiliki lesen memandu serta kenderaan tidak mempunyai perlindungan insurans. 

“Antara kesalahan lain termasuklah menanggalkan cermin pandang belakang, melakukan modifikasi tidak dibenarkan serta penggunaan nombor plat yang salah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

M. Kumarasan

Tambah beliau, terdapat di dalam kalangan pelajar terlibat turut menunggang motosikal yang dibuka penutup rantai dan boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Kesemua motosikal yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk proses dokumentasi manakala ibu bapa pelajar terlibat akan dimaklumkan dan tindakan akan diambil. 

“Ibu bapa yang membenarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa memiliki lesen juga boleh dikenakan tindakan undang-undang di mahkamah,” ujarnya. 

Sementara itu, Kumarasan turut memberitahu, sejak Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 175 kemalangan jalan raya melibatkan pelajar.

“Daripada jumlah itu, 75 daripadanya membabitkan kematian, 41 kecederaan parah, 37 kecederaan ringan serta 22 membabitkan kerosakan pada kenderaan. 

“Pelaksanaan Ops Didik ini dilakukan secara mingguan di sekolah seluruh Johor bagi mendidik pelajar untuk sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya serta undang-undang lain,” tambahnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya