ALOR SETAR: Seorang pegawai tadbir di negeri ini mengalami kerugian sebanyak RM121,300 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank yang mendakwa kononnya mangsa mempunyai tunggakan pinjaman peribadi.
Mangsa berusia 43 tahun berasal dari Baling dekat sini mula menerima panggilan telefon sejak Januari lalu daripada seorang perempuan yang mengaku pegawai sebuah bank di Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, mangsa menafikan melakukan pinjaman peribadi tersebut sebelum panggilan itu disambung seorang anggota polis berpangkat sarjan di Balai Polis Sri Kembangan bagi membuat aduan tentang pinjaman tersebut.
Menurutnya, suspek tersebut kemudiannya berpura-pura menghubungi Bahagian Pengurusan Maklumat Bukit Aman bagi membuat semakan pinjaman tersebut sebelum mangsa didapati pula terlibat dengan kes penggubahan wang haram.
“Pada 30 Januari lalu, mangsa telah dihubungi suspek yang mengaku Bahagian Penggubahan Wang Haram Bukit Aman dan meminta mangsa mengemas kini maklumat akaun bank mangsa.
“Mangsa selepas itu diarah mengeluarkan simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan dipindahkan ke akaun Agrobank tersebut bagi pengesahan wang tersebut bersih daripada wang haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Elias menambah, suspek selepas itu dihubungi setiap hari bagi meminta wang tambahan sehingga mangsa membuat beberapa pinjaman peribadi untuk dimasukkan ke dalam akaun Agrobank mangsa.
Katanya, pada penghujung tahun 2020, suspek meminta mangsa menunggu hasil siasatan dan mengarahkan mangsa untuk tidak semakan ke atas akaun Agrobank itu dengan alasan mengganggu siasatan.
Namun, menurutnya, pada 20 September lalu, mangsa membuat semakan ke atas akaun bank itu dan mendapati terdapat 17 kali pindahan wang secara atas talian mulai 30 Januari hingga 29 Jun lalu berjumlah RM121,300.
“Mangsa telah membuat laporan polis di Baling pada 22 September lalu dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.-UTUSAN