Pas mahu Kerajaan PN Johor kekal sehingga PRU-15 - Utusan Malaysia

Pas mahu Kerajaan PN Johor kekal sehingga PRU-15

ABDULLAH Hussin (kiri) menyerahkan bendera Pas kepada Yang DiPertua Pas Kawasan Pontian, Md. Amin Sanusi sebagai gimik pelancaran Jentera Pilihanraya Jentera PRU-15 di Dewan Orang Ramai Ayer Baloi, disini, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN : Pas Johor berharap kestabilan politik di negeri ini berterusan serta berkekalan 

sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di bawah kepemimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.  

Pesuruhjayanya, Abdullah Hussin berkata, kestabilan politik amat penting pada ketika ini bagi terus menjaga kebajikan rakyat lebih-lebih lagi negara berada dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, keutamaan sekarang adalah memastikan program-program yang dirancang oleh kerajaan negeri dalam mendepani cabaran Covid-19 tidak terjejas disebabkan pergolakan politik.

Menurut beliau, rakyat Johor masih memerlukan sokongan serta penglibatan kerajaan untuk membela mereka terutama bagi yang hilang pekerjaan, ketiadaan sumber pendapatan dan sebagainya.

“Namun Pas bersedia untuk menghadapi PRU-15 sekiranya berlaku pilihan raya mengejut jika disebabkan kekurangan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada kerajaan negeri yang ada,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya  PRU-15 Pas Kawasan Pontian di Dewan Orang Ramai Ayer Baloi, di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ura-ura bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian yang juga ADUN Kempas akan dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana berkempen untuk calon bebas semasa Pilihan Raya Kecil  (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim baru-baru ini.

Sekiranya Osman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam menyertai Pakatan Harapan (PH), maka sidang DUN Johor akan tergantung kerana kerusi dimiliki Perikatan Nasional (PN) dan PH masing-masing berjumlah 28 kerusi.

Tambah Abdullah yang juga Pengerusi Penyelaras Khas DUN Pulai Sebatang, setakat ini tiada sebarang laporan yang menyatakan  Osman yang juga Ketua Bersatu Ayer Hitam dipecat sebagai ahli Bersatu.

Ditanya mengenai kedudukan Pas dalam kerajaan Johor, beliau berterima kasih dengan perlantikan ahli Pas sebagai Ahli Majlis Daerah di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu.

Katanya, bukan jawatan yang menjadi keutamaan tetapi keberadaan Pas dalam jentera kerajaan negeri dapat dirasai oleh ahli-ahli Muafakat Nasional (MN).

“Kami bersyukur dan berterima kasih kepada Menteri Besar kerana melantik wakil daripada Pas sebagai Penyelaras Khas bagi DUN Pulai Sebatang dan  Pekan Nanas, baru-baru ini,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN