Pakai PPE selamatkan mangsa banjir - Utusan Malaysia

Pakai PPE selamatkan mangsa banjir

MOHD. REDZUAN MD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pasukan penyelamat dikehendaki memakai sut perlindungan diri (PPE) semasa menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap.

Itu merupakan antara garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) Pengurusan Mangsa di Pusat-Pusat Pemindahan Sementara yang ditambah baik oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, pihaknya berharap agar semua pihak dapat mematuhi SOP yang ditetapkan kerana tahun ini merupakan kali pertama pengurusan bencara akan berlaku semasa wabak Covid-19.

“Kita bincangkan tentang SOP untuk mengendalikan mangsa-mangsa banjir seperti khemah-khemah akan dijarakkan, namun, permasalahan akan timbul semasa mahu menyelamatkan mangsa terperangkap.

“Kita adakan draf SOP contohnya orang dipertanggungjawabkan untuk memindahkan mangsa yang terperangkap menaiki bot perlu memastikan menggunakan PPE supaya tidak terdedah dengan jangkitan Covid-19 sebab kita tidak tahu sama ada mangsa itu negatif atau positif kerana bencana berlaku dalam keadaan tiba-tiba,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat Bilangan Satu di sini hari ini.

Kementerian Kesihatan turut memberi taklimat berkaitan Garis Panduan Pencegahan dan Pengurusan Covid-19 di Pusat Pemindahan Sementara Mangsa Bencana yang dibangunkan sebagai salah satu langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir semasa pandemik tersebut.

Garis panduan itu meliputi proses sebelum, semasa dan selepas tamat penempatan mangsa banjir serta perbincangan mengenai persediaan menghadapi bencana dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku dari awal November sehingga Mac tahun depan.

Mengulas lanjut, Mohd. Redzuan berkata, tiada keperluan untuk menambah aset atau jentera dalam menghadapi bencana monsun itu kerana fasiliti sedia ada sudah mencukupi.

Katanya, secara keseluruhannya seramai 75,925 pegawai dan anggota daripada semua agnsi berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya dengan dibantu 6,490 aset seperti bos, lori dan ambulans serta 46,720 khemah khas bagi kegunaan pusat pemindahan.

“Jika perlu ditambah (aset) kita akan bawa kepada peringkat Kabinet untuk kelulusan tetapi buat masa ini kita tidak nampak untuk dibuat perolehan segera dalam memberi bantuan untuk menguruskan bencana dalam masa terdekat. Namun, secara jangka masa panjang, sekiranya perlu kita akan tambah aset sedia ada.

“Sebab itu tujuan Nadma hari ini untuk menyelaraskan serta mengoptimumkan penggunaan aset semasa bencana. Saya telah mengarahkan semua peringkat daerah, negeri dan persekutuan untuk memastikan persediaan sumber manusia, aset, pusat pemindahan sementara, depoh, pengkalan hadapan dan bekalan sokongan sentiasa berada dalam tahap optimum agar tindak balas semasa monsun berjalan lancar,” katanya. -UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN