BAGAN SERAI: Pagi kematian cucu lelaki berusia dua hari dan pada sebelah petang pula, kehilangan anak lelaki yang maut dalam kemalangan jalan raya.
Itu detik menyedihkan yang dilalui seorang lelaki, Md. Saad Osman, 55, yang kehilangan dua ahli keluarga dalam tempoh sehari.
Menurut Md. Saad, cucu lelakinya yang baru dilahirkan dua hari lalu meninggal dunia pagi semalam dan selamat dikebumikan selepas solat zohor semalam.
Katanya, selepas selesai urusan pengebumian jenazah cucunya itu, dia menerima berita anak lelakinya, Ridhwan, 22, meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Siakap Bagan Serai petang semalam.
Menurutnya, anak ketiga dari enam adik beradik itu meninggal dunia ketika bermotosikal untuk ke tempat kerja di Batu Kawan, Pulau Pinang setelah terlibat kemalangan pada kira-kira pukul 4.40 petang.
“Sepatutnya dia tidak bekerja semalam kerana mendapat cuti ihsan disebabkan ada kematian keluarga, tambahan pula pada malam ada kenduri tahlil.
“Mulanya, dia kata nak cuti semalam, namun, kemudiannya memberitahu hendak bekerja disebabkan tempat kerjanya tak cukup kakitangan.
“Sebelum pergi, saya berpesan agar berhati-hati semasa menunggang motosikal dan tak sangka itu pesanan terakhir saya untuknya sebelum menerima berita kemalangan melibatkan anak saya,” katanya.
Md. Saad ditemui selepas pengebumian jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Matang Gerdu di sini, semalam.
Sementara itu, adik mangsa, Nuraini, 17, berkata, abangnya seperti berbelah bahagi untuk pergi bekerja semalam namun mengubah fikiran setelah memikirkan tempat kerjanya tidak cukup pekerja.
“Dia buat keputusan untuk bekerja kerana dia perlu membayar ansuran kereta yang baru dua minggu dibeli,” katanya. -UTUSAN