Ops Benteng : 83 PATI ditahan - Utusan Malaysia

Ops Benteng : 83 PATI ditahan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 83 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang tekong dan penyeludup berjaya diberkas oleh pihak berkuasa menerusi Operasi Benteng yang dilakukan semalam.

Operasi yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) itu bertujuan mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, operasi yang bertujuan mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19 itu melibatkan sebanyak 28 tangkapan selain rampasan lima kenderaan darat dan sebuah bot.

“Sebanyak 79 Sekatan Jalan Raya dilaksanakan semalam yang melibatkan PDRM (65 sekatan), Aksem (10 sekatan), dan ATM sebanyak empat sekatan.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam laporan harian mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PDRM menahan 48 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP dengan seramai 47 individu dikompaun dan seorang individu dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk gagal menyediakan peralatan keluar masuk, tidak memakai pelitup muka, premis beroperasi lebih masa, langgar perintah kuarantin dan aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan seramai 8,985 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala, 13,201 individu didiscaj dan dibenarkan pulang.

“Sejak 24 Julai sehingga 3 September lalu, seramai 22,252 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa serta ditempatkan di 70 Hotel dan empat institut latihan awam di Kuala Lumpur dan beberapa negeri yang lain.

“Mereka pulang dari 32 negara antaranya Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Sepanyol dan Perancis,” katanya.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya