KUALA TERENGGANU: Aktiviti pelancongan di pulau-pulau peranginan di negeri ini dijangka beroperasi sehingga akhir bulan depan susulan kedatangan musim tengkujuh di Pantai Timur.
Pengurus D’Lagoon Chalet & Restaurant di Pulau Perhentian Kecil, Azharil Amin berkata, walaupun lazimnya operasi ditutup bermula pertengahan Oktober tetapi tahun ini rata-rata pengusaha dan pengendali pelancongan mungkin meneruskan operasi tersebut sehingga akhir bulan depan.
“Keadaan cuaca di pulau baik dan kedatangan pengunjung juga penuh terutama pada hujung minggu.
“Selain penginapan, chalet kami turut menawarkan perkhidmatan selaman dan setakat ini tempahan yang diterima adalah sehingga 16 Oktober. Jadual mungkin akan bertambah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sementara itu, seorang pengendali pakej pelancongan harian Pulau Kapas, Mohd. Azli Yah berkata, kebanyakan pengusaha di pulau peranginan itu masih meneruskan operasi mereka seperti biasa dan sebarang tempahan pakej hanya ditutup bermula November.
Bagaimanapun, katanya, menjelang akhir bulan depan, rata-rata mereka dalam keadaan berjaga-jaga dan berwaspada dengan apa jua kemungkinan perubahan cuaca.
“Di Pulau Kapas terdapat empat tapak perkhemahan dan difahamkan ada di antaranya yang sudah menghentikan operasi bulan ini.
“Tetapi untuk perkhidmatan lain seperti penginapan di chalet dan pakej harian ke pulau, operasi masih berjalan seperti biasa,” katanya yang sudah empat tahun mengendalikan perniagaan itu.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Chapter Terengganu, Suaibah Harun pula berkata, semua resort dan chalet di pulau-pulau peranginan di Terengganu bakal dihentikan sementara kepada pelancong pada hujung bulan depan.-UTUSAN