PUTRAJAYA: Operasi Benteng dijalankan pasukan keselamatan di sempadan negara bagi mengekang penularan Covid-19 semalam berjaya menangkap 120 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, turut dirampas dalam operasi tersebut ialah tiga bot dan empat kenderaan darat.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan sembilan PATI di Pengkalan Kubor, Kelantan kerana memasuki Malaysia melalui laluan yang tidak sah.
“Sementara itu di Teluk Penawar, Bandar Penawar, Johor, pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menahan lima PATI kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan di sempadan terutamanya lorong-lorong tikus,” katanya dalam laporan harian mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini semalam.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, PDRM turut menahan seramai 68 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan daripada jumlah itu, 66 individu telah dikompaun manakala dua lagi direman.
Kesalahan-kesalahan tersebut adalah 21 individu ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (18), tidak memakai pelitup muka (18), penjarakan fizikal (enam) serta gagal melunaskan bil kuarantin (tiga).
Sementara itu kata beliau, sebanyak 3,123 pasukan pematuhan membabitkan 12,873 anggota telah membuat pemantauan melalui 59,899 pemeriksaan menguat kuasa prosedur operasi standard (SOP) PKPP.
“Sehingga semalam, seramai 29,438 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 72 hotel serta lapan premis lain.
“Daripada jumlah itu, seramai 9,737 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 71 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan selain 19,630 telah dibenarkan pulang,” katanya. – UTUSAN