Motosikal bertembung, 3 pelajar cedera - Utusan Malaysia

Motosikal bertembung, 3 pelajar cedera

DUA pelajar perempuan yang menaiki motosikal tercampak ketika bertembung dengan seorang pelajar lelaki yang turut menaiki motosikal dalam kemalangan di hadapan SMK Dato Dol Said, Alor Gajah, Melaka.-UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Dua pelajar tingkatan lima parah manakala seorang lagi cedera selepas dua motosikal dinaiki mereka bertembung sesama sendiri di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Dol Said, di sini awal petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 petang itu, dua pelajar iaitu Nur Adibah Salleh, 17, dan Muhammad Iman Zarif Mohamad Zulaizam, 17, dilaporkan mengalami kecederaan parah di kepala dan tidak sedarkan diri di tempat kejadian.

Sementara seorang lagi mangsa, Nur Amanina Azman, 17, yang menaiki motosikal bersama Nur Adibah dilaporkan cedera di tangan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan melibatkan dua pelajar perempuan sekolah berkenaan, manakala pelajar lelaki terbabit adalah pelajar Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd. Zin.

ARSHAD ABU

“Kemalangan berlaku apabila dua pelajar perempuan tersebut yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 dipercayai cuba membelok keluar dari pintu pagar sekolah selepas tamat sesi persekolahan.

“Ketika itu, pelajar lelaki itu yang menunggang motosikal di laluan utama di hadapan sekolah tersebut, bagaimanapun dipercayai gagal mengelak dua pelajar berkenaan sehingga berlaku rempuhan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, akibat kemalangan itu, kesemua mangsa tercampak ke laluan bertentangan dan menyebabkan Nur Adibah dan Muhammad Iman mengalami kecederaan parah di kepala dan tidak sedarkan diri.

“Ketiga-tiga mangsa yang lengkap beruniform sekolah telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Jelasnya, kedua-dua motosikal tersebut telah ditahan di Balai Trafik Alor Gajah untuk Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom). -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya