JOHOR BAHRU: Meskipun kelab malam dilarang beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun terdapat lagi yang degil melanggar arahan tersebut.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menyerbu sebuah premis hiburan di Taman Mount Austin di sini semalam yang didapati beroperasi tanpa kebenaran.
Katanya, seramai 121 individu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPP dalam operasi itu yang bermula pada pukul 11.15 malam hingga 12.30 malam.
“Hasil semakan ke atas premis mendapati ianya telah beroperasi tanpa lesen dan melanggar SOP Covid-19 yang ditetapkan sewaktu perintah PKPP.
“Turut ditahan seorang pekerja premis berusia 29 tahun, beserta seorang lelaki warga Myanmar berusia 32 tahun dan seorang wanita Vietnam berusia 31 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Ayob Khan, pihaknya turut menahan tiga individu termasuk seorang pekerja premis berkenaan.
“Polis turut merampas 155 botol minuman keras, tiga unit mesin dart automatik, empat unit pembesar suara, dua mesin asap buatan dan pelbagai barangan lain.
“Ujian air kencing yang dijalankan terhadap kesemua pengunjung premis berkenaan mendapati kesemua negatif
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Johor (ENJ) dan Perkara 11, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 2020,” tambahnya. – UTUSAN