PORT DICKSON: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan rampasan dadah dengan nilai anggaran RM14.85 juta termasuk 17 tangkapan sepanjang lapan bulan pertama tahun ini.
Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, kesemua tangkapan itu adalah enam di Kedah, lima di Sabah, tiga di Johor selain masing-masing satu tangkapan di Pahang, Perak serta Negeri Sembilan/Melaka.
“Tangkapan dan rampasan terbesar setakat ini melibatkan dadah pelbagai jenis seberat 113 kilogram dengan anggaran nilai RM7.2 juta melalui Op Benteng di kawasan pantai Port Dickson pada 18 Mei lalu.
“Kesemua kes ini masih dalam proses pendakwaan. Maritim Malaysia terus mempergiatkan operasi bagi memastikan tiada salah laku jenayah berlaku dalam perairan negara selain tindakan tegas diambil sekiranya mereka didapati bersalah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Pelupusan Dadah Maritim Malaysia di Pusat Pemuliharaan dan Inovasi Alam Sekitar (EPIC), Taman Bukit Pelandok dekat sini semalam.
Yang hadir sama Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan, Azuri Azizah Saadon dan Pengurus Besar Teknikal dan Pembangunan Syarikat Kualiti Alam Sdn. Bhd., Mohd. Norsuraidi Man.
Pada majlis tersebut, sebanyak 378 bungkusan dadah jenis methamphetamine seberat 387.47 kilogram dengan anggaran nilai RM29 juta dilupuskan.
Aminuddin berkata, pelupusan dadah tersebut adalah hasil daripada penemuan lapan beg berisi dadah yang terapung pada jarak 1.2 batu nautika dari pantai Kuala Perlis, 23 Mei 2018.
Katanya, beg tersebut dipercayai dibuang penyeludup sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa yang sedang melakukan rondaan rutin.
“Ia tidak jauh dari perairan sempadan antara Malaysia dengan Thailand. Penemuan ini juga adalah melalui kejar buru antara bot peronda Maritim Malaysia dengan suspek yang memecut laju melarikan diri ke perairan negara Thailand.
“Bagaimanapun, ketika bot peronda Maritim Malaysia sedang mengejar suspek dalam kejadian pada waktu malam itu, kami mendapati suspek membuang beberapa objek ke laut. Hasil pemeriksaan lanjut ke atas beg tersebut mendapati di dalamnya bungkusan disyaki dadah jenis syabu,” katanya.
Jelasnya, kesemua dadah tersebut telah dilucut hak selepas mendapat perintah mahkamah melalui kaedah musnah dan bakar selaras dengan peraturan di bawah Pekeliling Perbendaharaan Tatacara Pengurusan Aset Alih Kerajaan Am 2.7 di bawah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Setiap proses pelupusan dadah dilaksanakan secara terkawal dan akan diuruskan oleh syarikat lantikan kerajaan. Kali ini syarikat Kualiti Alam Sdn. Bhd. yang berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar bertanggungjawab melaksanakan proses pelupusan dadah ini,” katanya. – UTUSAN