SEPANG : Jawatankuasa Bencana Daerah di bawah kerajaan negeri Selangor perlu mengambil tindakan segera bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas akibat ribut di sekitar daerah ini, Selasa lalu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, kejadian tersebut telah mengakibatkan sebanyak 81 buah rumah di Desa Pinggiran Putra dan 41 rumah di Kampung Limau Manis rosak teruk.
Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana mendakwa tiada wakil kerajaan turun padang untuk melihat sendiri keadaan rumah dan mangsa yang terjejas.
“Saya percaya agensi kerajaan ada saluran yang boleh memberikan bantuan segera kepada mangsa. Orang kampung sedang menanti apakah sumbangan yang boleh mereka dapat bagi meringankan beban.
“Bagaimanapun sudah masuk hari ketiga, saya kesal kerana tiada wakil kerajaan negeri turun padang dan sepatutnya mereka sudah sedia maklum namun sebaliknya yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat kawasan rumah penduduk yang terjejas akibat bencana itu, di sini semalam.
Sementara itu, seorang mangsa, Yusof Md. Nor, 56, berkata, bumbung rumahnya diterbangkan angin kencang manakala rumahnya dinaiki air sehingga mereka sekeluarga tidak sempat menyelamatkan barangan keperluan kecuali televisyen dan kipas angin.
Yusof yang tinggal di Kampung Desa Putra berkata, kejadian ribut dan hujan lebat yang meranap rumahnya itu adalah kali kedua dialami.
“Barang-barang lain seperti pakaian habis basah. Dianggarkan kerugian yang dialami kira-kira RM50, 000,” katanya.-UTUSAN