JOHOR BAHRU: Cubaan seorang lelaki warga Bangladesh merasuah polis kerana mahu lepas daripada siasatan memiliki dokumen pengenalan diri palsu mengundang parah apabila dia ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Ismail Dollah berkata, suspek berusia 30 tahun itu berbuat demikian setelah didapati memiliki kad pengenalan palsu sewaktu diperiksa dalam satu sekatan jalan raya Op Benteng di Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru di sini semalam.
Katanya lagi, turut ditahan dua lagi rakan suspek.
“Kenderaan dinaiki ketiga-tiga suspek melalui sekatan jalan raya ditahan polis untuk pemeriksaan dokumen perjalanan pada pukul 2.53 petang. Namun, sewaktu pemeriksaan dibuat, suspek telah memiliki kad pengenalan palsu, manakala dua lagi rakannya iaitu masing-masing seorang warga Bangladesh dan Myanmar memiliki dokumen meragukan.
“Ketika dibawa ke balai untuk membuat laporan tangkapan, lelaki itu bertindak menawarkan wang berjumlah RM1,000 kepada anggota untuk menyelesaikan kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Ismail, suspek berusia 30 tahun itu tetap cuba merasuah anggota polis walaupun telah dinasihatkan agar tidak berbuat demikian.
“Sehubungan itu, polis merampas wang berkenaan dan menahan suspek kerana memberi rasuah.
“Dua rakannya iaitu warga Bangladesh berusia 31 tahun dan warga Myanmar berusia 28 tahun turut ditahan,” ujarnya.
Ismail turut memberitahu, suspek yang memberi rasuah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk tindakan lanjut manakala dua rakannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(8) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. -UTUSAN