TEMERLOH: Satu demi satu kes Covid-19 yang dilaporkan daripada individu pulang dari Sabah termasuk kes terbaharu di Kuantan menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat di negara ini.
Peningkatan kes di negeri di bawah bayu itu yang sedang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dibimbangi akan mewujudkan gelombang baharu selepas ramai individu yang akan pulang ke Semenanjung apabila berakhirnya PRN.
Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, berdasarkan kes-kes sedia ada, sudah sampai masanya kerajaan bertindak proaktif melakukan kuarantin terus kepada individu dari Sabah khususnya di kawasan yang berisiko.
“Sebenarnya ada dua tiga kes dah terlepas dan ini adalah satu indikator bahawa kerajaan kena buat kuarantin terus kepada individu yang datang dari Sabah bagi membendung penularan wabak ini.
“Jadi apabila mereka sampai di lapangan terbang, harus kenal pasti perjalanan individu itu dari mana dan jika dari kawasan ‘hot spot’ mereka harus dikuarantin tidak kira siapa,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan kes terbaharu di Kuantan melibatkan seorang lelaki pulang daripada Semporna, Sabah yang telah berjumpa dengan ramai individu termasuk tiga anaknya yang bersekolah di tiga buah sekolah di Kuantan dan Negeri Sembilan.
Menurut Ahmad Shukri, tindakan pihak kerajaan yang masih tidak melakukan perintah kuarantin juga menimbulkan rasa bimbang dan pelbagai persepsi negatif rakyat kepada pihak berkuasa yang seolah-olah mengambil mudah.
Katanya, jika kes-kes Covid-19 terus meningkat di Semenanjung khususnya selepas PRN, ia dibimbangi memberikan kesan buruk kepada rakyat dan negara yang mungkin terpaksa berdepan gelombang baharu wabak berkenaan.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Riduan Rahman, 34, berkata, tindakan kerajaan yang masih belum melaksanakan perintah kuarantin wajib membuatkan masyarakat bimbang terdedah penularan pandemik Covid-19.
“Saya pelik kenapa sehingga kini tiada perintah kuarantin wajib kerana sepatutnya isu keselamatan harus diberi perhatian utama dan ambil lah iktibar daripada penularan kes lalu.
“Rakyat sudah memberi kerjasama dengan patuh segala prosedur operasi standard (SOP), jadi pihak kerajaan juga diminta tidak berkompromi dan bertindak tegas dalam memastikan penularan wabak ini dapat dihentikan,” ujarnya. -UTUSAN