PUTRAJAYA: Pengendali syarikat umrah menzahirkan kerisauan mengenai kos menunaikan ibadah umrah berikutan levi pelepasan udara ke luar negara yang dijangka meningkat sebanyak 25 peratus.
Walaupun belum ada kenyataan rasmi daripada Kerajaan Arab Saudi berhubung perkara itu, namun, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tour Sdn. Bhd. (Andalusia), Datuk Md. Daud Che Ngah tidak menolak kenaikan itu akan berlaku.
“Kita tidak tahu berapa yang Arab Saudi akan letak cuma bayangan itu sudah ada. Ini kerana levi itu asalnya adalah lima peratus, baru-baru ini naik sebanyak 10 peratus dan menjadikan 15 peratus. Berdasarkan sumber-sumber lain kemungkinan akan naik sebanyak 25 peratus.
“Ini bermakna, kalau bakal jemaah membuat tempahan sebanyak RM6,000 sebelum ini, kos akan meningkat kepada RM7,000. Oleh itu, pihak kami terpaksa menaikkan harga pakej umrah kepada pelanggan mengikut kenaikan levi tersebut,” katanya ketika ditemui semasa Seminar Penipuan Umrah bersama Pengelola Umrah di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.
Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi semalam melaporkan Arab Saudi akan membenarkan pelaksanaan ibadah umrah sepanjang tahun secara berperingkat dan bagi peringkat pertama, seramai 6,000 penduduk Arab Saudi dibenarkan menunaikan umrah setiap hari mulai 4 Oktober.
Bagi pengunjung dari luar negara pula, kebenaran tersebut bermula 1 November apabila bilangan individu yang dibenarkan menunaikan umrah dinaikkan kepada 20,000 sehari.
Mengulas lanjut, Md. Daud berkata, sepanjang tempoh pandemik Covid-19 pihaknya terpaksa menanggung kerugian RM9 juta termasuk kos yang sudah dibayar kepada pihak hotel dan syarikat penerbangan disebabkan ibadah umrah tidak dapat dilaksanakan.
“Bayangkan perniagaan tidak dapat berjalan sepanjang musim Covid-19 dan kos kerugian secara keseluruhannya adalah kira-kira RM75 juta disebabkan 14,000 jemaah yang sudah membuat pembayaran kepada pihak kami.
“Seramai 236 mutawif juga terjejas pendapatan mereka kerana kita hanya akan mengambil 80 mutawif sahaja apabila ibadah umrah kembali beroperasi nanti,” jelasnya.
Turut senada, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (Papuh), Datuk Seri Razali Mohd. Sham yang menjangkakan kenaikan harga bagi pakej umrah sebanyak 20 ke 30 peratus berikutan peningkatan kos levi serta caj lain yang dikenakan oleh Kerajaan Arab Saudi.
“Kerugian yang ditanggung semasa Covid-19 bagi keseluruhan syarikat yang membuat pakej pelancongan sudah mencecah bilion ringgit tetapi bagi pengendali umrah mencecah ratusan juta.
“Jumlah kerugian yang melibatkan bayaran penerbangan dan hotel mungkin tidak banyak kerana perjalanan boleh ditangguhkan tetapi kos operasi akan memberi kesan besar kepada syarikat pengendali umrah yang perlu membayar sewa dan gaji pekerja,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun KC Ahmmu berkata, masih terlalu awal untuk pihaknya mengiklankan pakej harga baharu menunaikan ibadah umrah.
Katanya, keseluruhan harga pakej umrah bergantung kepada protokol dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi nanti.
“Tentang kos sudah pasti peningkatan akan berlaku yang bergantung kepada protokol oleh Arab Saudi yang akan mempengaruhi keseluruhan pakej umrah. Selagi kita tidak lihat tentang perkara itu, kita tidak boleh buat secara rambang (harga pakej) sebab kita tidak mahu mengelirukan pengguna.
“Jadi saya harap semua agensi dengan penuh rasa tanggungjawab menunggu protokol itu termasuk sekali SOP daripada negara kita. Kita harap rakyat bersabar kerana melalui pejabat menteri akan berkongsikan maklumat selepas itu baru kita boleh umumkan harga,” katanya.-UTUSAN