BANGI : Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bidang keusahawanan perlu dilihat sebagai salah satu cabang kerjaya berpotensi besar yang boleh diteroka oleh pelajar dan graduan.
Menurut Perdana Menteri, bidang berkenaan bukan sahaja menawarkan penjanaan pendapatan kepada pengusahanya, tetapi berupaya mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada orang lain melalui perniagaan yang dijalankan.
Pada masa ini, kata beliau, Kementerian Pengajian Tinggi sedang giat membangunkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2021-2025 bagi memastikan
kesinambungan pemerkasaan agenda keusahawanan di IPT melalui pelan tindakan itu.
“Saya berharap pelan tindakan yang akan dihasilkan ini berupaya memartabatkan agenda keusahawanan di IPT secara lebih menyeluruh melalui pengukuhan
ekosistem keusahawanan yang lengkap,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pelancaran Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) – Career Advancement Programme (KPT-CAP) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini semalam.
Muhyiddin berkata, beliau turut prihatin dengan nasib dan hala tuju para graduan yang bakal menamatkan pengajian di IPT tempatan pada tahun ini.
Katanya, memasuki pasaran kerja dalam situasi tidak menentu adalah satu cabaran yang harus ditempuhi oleh mereka.
Atas dasar itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah menyalurkan waran peruntukan berjumlah RM100 juta kepada KPT bagi tujuan pelaksanaan KPT-CAP iaitu program kemajuan kerjaya yang merupakan salah satu program dalam Penjana di bawah inisiatif Memperkasa Rakyat melalui Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran dengan jumlah keseluruhan RM2 bilion.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, tidak seperti program peningkatan kemahiran yang biasa dilaksanakan, Program Penjana KPT-CAP yang julung-julung kali diperkenalkan itu adalah unik kerana para graduan dipastikan akan memperoleh pekerjaan setelah mereka menamatkan kursus-kursus yang ditetapkan mengikut keperluan syarikat-syarikat yang bakal mengambil graduan tersebut sebagai pekerja mereka.
“Contohnya kursus Smart Trucker. Kandungan pengajaran dalam kursus ini direka bentuk berdasarkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh syarikat logistik yang mengeluarkan ‘Letter of Commitment’ (LOC) kepada KPT.
“Justeru, habis sahaja tempoh kursus, graduan tadi akan ditawarkan untuk bekerja dengan syarikat logistik tersebut,” katanya.
Pada masa sama, Muhyiddin menyeru para graduan memohon program KPT-CAP itu melalui portal Graduates Reference Hub for Employment and Training (GREaT).
” Saya menyeru kepada saudara-saudari graduan tahun 2020 dan tahun 2019 yang belum bernasib baik mendapat pekerjaan, bolehlah memanfaatkan peluang untuk menambah kemahiran dan nilai kompetensi seterusnya membantu meningkatkan kebolehpasaran diri masing-masing,” katanya. -UTUSAN