KANGAR: Kesan pandemik Covid-19 cukup dirasakan khususnya kepada para peniaga selain usahawan-usahawan muda yang baru memulakan perniagaan sehingga ada yang terpaksa gulung tikar.
Rata-rata peniaga kedai makan juga menanggung kerugian hingga ada yang mencecah puluhan ribu ringgit apabila perniagaan mereka ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Seorang usahawan yang mengusahakan perniagaan sewa kanopi di sini contohnya terpaksa memberhentikan operasinya sejak Mei lalu berikutan pelaksanan PKP baru-baru ini.
Hatta Azam Rashid, 34, berkata, dia mengusahakan perniagaan sewa kanopi tersebut sejak setahun lalu.
Pada peringkat permulaan banyak tempahan diterima khususnya bagi majlis-majlis perkahwinan serta program di sekitar Perlis dan Kedah.
Bagaimanapun katanya, sejak pelaksanaan PKP, boleh dikatakan semua tempahan sewa kanopi terpaksa dibatalkan menyebabkan dia tidak mampu lagi menampung kos operasi.
“Semasa PKP, perniagaan kami merosot teruk, tempahan semua terpaksa dibatalkan. Bagaimana nak tanggung kos operasi seperti sewa kedai, lori dan gaji para pekerja.
“Saya mengambil keputusan memberhentikan operasi dan cuba mencari peluang baharu selepas itu dengan menjalankan perniagaan secara dalam talian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kata bapa kepada dua orang anak itu, pandemik Covid-19 ternyata memberi kesan khususnya kepada para usahawan yang baru berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.
“Meskipun ramai dalam kalangan peniaga sudah mula bangkit dan ada yang berjaya melepasi ujian, namun keperitan dialami kesan beberapa bulan lalu akibat Covid-19 masih dapat dirasai,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga kedai makan di Pauh, Arau, Suzaini Kasa, 45, pula memberitahu, dia kerugian lebih RM20,000 sepanjang tempoh tiga bulan kedai ditutup.
Katanya, meskipun kedai makan miliknya itu kembali dibuka baru-baru ini, namun bagi menampung kerugian dialami memerlukan masa yang lama selain perlu berusaha lebih keras.
“Bukan senang nak pulih kembali. Kesan Covid-19 memang cukup perit khususnya buat para peniaga seperti kami. Yang penting kami juga kena bersabar,” katanya. – UTUSAN