IPOH: Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyerahkan kepada Lembaga Disiplin parti untuk menentukan tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang membantu kempen calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, baru-baru ini.
Menurut Ahmad Faizal, tindakan yang dilakukan bekas Menteri Besar Johor itu perlu dibawa ke jawatankuasa disiplin parti.
Beliau berkata, jika ada laporan mengenainya, jawatankuasa disiplin perlu menyiasat dan memanggil Osman untuk memberi keterangan dan selepas itu keputusan akan dibuat.
“Saya tidak berada pada situasi yang boleh memberi kenyataan apakah bentuk tindakan yang boleh dikenakan kerana kita ada jawatankuasa yang akan menentukan perkara tersebut.
“Sama ada beliau akan dipanggil, itu saya tidak tahu kerana saya bukan pengerusi jawatankuasa disiplin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad di pejabatnya di sini hari ini.
Ahmad Faizal mengulas rakaman video yang tular baru-baru ini, Osman sedang berucap dipercayai berkempen menyokong calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi ketika PRK DUN Slim.
Dalam video itu, Osman mengakui masih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas atas tiket Bersatu dan masih menjadi ahli parti berkenaan.
Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar berkata, kerajaan negeri belum membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.
Namun menurutnya, pembubaran DUN tidak dapat dielakkan kerana mandat yang diberikan mempunyai tempoh.
“Buat masa sekarang saya tak dapat lagi apa-apa pandangan daripada Perdana Menteri berkenaan perkara ini, maka kerajaan negeri berjalan seperti biasa.
“Kita fokus cari jalan bantu rakyat yang dalam kesusahan selepas PKP, baru kita cari jalan bagaimana nak kekalkan jawatan atau terus memerintah,” katanya. – UTUSAN