KUALA LUMPUR: Semua pucuk pimpinan dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Perikatan Nasional (PN) digesa bekerja keras umpama Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddn Yassin turut meminta semua parti dalam gabungan PN mengetepikan sikap cemburu dan saling mempercayai selain mengamalkan sikap bantu membantu.
Katanya, dalam situasi ‘politik baharu’, sikap tersebut penting bukan semata-mata meraih sokongan rakyat dan kemajuan parti, tetapi demi masa depan negara yang lebih terjamin.
“Jangan tanya saya bila PRU-15. Apa yang penting adalah bekerja bersungguh-sungguh seolah-olah esok PRU-15 supaya rakyat bangkit dan beri sokongan pada kita. Mari kita bersama-sama bekerjasama dalam satu barisan rapat. Kita jadikan sifat integriti dan amanah sebagai satu panduan agar imej Bersatu didukung oleh segenap rakyat Malaysia.
“Maka sebab itu kita bersepakat bersama rakan lain dalam apa yang saya sebut sebagai PN. Kita bergabung tenaga dalam satu saf dan bentuk barisan yang boleh bekerjasama dalam politik dan kerajaan. Ini tidak boleh dielakkan dalam situasi politik baharu,” katanya semasa berucap dalam majlis Sambutan Ulang Tahun Keempat Bersatu di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) malam ini.
Yang turut hadir, Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; tiga Naib Presiden, Datuk Seri Ronald Kiandee; Dr. Mohd. Radzi Jidin dan Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen disamping Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu bertindak secara terancang untuk terus berada pada landasan yang betul terutama dalam keadaan negara mendepani pandemik Covid-19.
“Untuk tentukan landasan betul, kita perlu bertindak secara terancang. Kalau ada halangan ia perlu kita buang dan wujudkan satu cara pengurusan lebih cepat dan efisien demi memastikan ekonomi dijalankan dengan lebih sempurna.
“Dengan tindakan yang kerajaan ambil, rakyat tentu rasa terjamin. Bukan nak masuk bakul angkat sendiri, tapi orang dah panggil saya ‘Abah’. Yang penting selesa dan rasa jiwa selamat berada di bawah kerajaan pimpinan saya untuk tentukan nasib dan masa depan mereka lebih terjamin,” ujarnya. – UTUSAN