Kerajaan akan segerakan pindaan akta berkaitan air - Utusan Malaysia

Kerajaan akan segerakan pindaan akta berkaitan air

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyegerakan pindaan ke atas peruntukan undang-undang sedia ada supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah yang melakukan pencemaran terhadap sumber air.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pindaan yang dibuat akan membabitkan Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Beliau turut memberi jaminan bahawa proses pendakwaan akan dilaksanakan minggu depan terhadap pesalah yang tidak bertanggungjawab melakukan pencemaran bau di Sungai Gong.

“Saya ingin tegaskan bahawa pihak kementerian tidak akan berkompromi menguatkuasakan peruntukan perundangan.

“Saya ingin memaklumkan bahawa bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas telah mencapai status pemulihan sehingga 51.6 peratus. Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) menjangkakan bekalan akan pulih sepenuhnya secara berperingkat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kira-kira lima juta pengguna hidup dalam kekalutan berikutan gangguan bekalan air yang berlaku di tujuh daerah sekitar Lembah Klang kelmarin.

Dengan notis gangguan yang singkat telah menyebabkan orang ramai tidak sempat melakukan persediaan.

Tuan Ibrahim menambah, setakat ini sebanyak sembilan operator negeri lain turut membantu Air Selangor untuk menggerakkan 114 lori tangki, menyediakan 22 pili awam, menempatkan 70 tangki statik di 19 pusat khidmat setempat (PKS) serta mengagihkan lima liter air minuman kepada setiap pengguna terjejas.

Ujarnya, SPAN telah diarahkan supaya menghubungi semua operator air seperti Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (SAINS), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) dan Syarikat Ranhill SAJ Sdn. Bhd. ( SAJ) untuk turut membantu.

“SPAN telah mengarahkan Air Selangor untuk memaklumkan kepada pengguna tentang jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan dalam masa terdekat setelah sistem agihan bekalan air distabilkan.

 “Hal ini termasuk memenuhkan semua tangki-tangki utama yang telah kosong, memastikan tekanan air mencukupi dan memastikan tiada ‘airlock’ dalam sistem perpaipan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya