Kemenangan GRS petanda baik kepimpinan PN di peringkat Pusat - Utusan Malaysia

Kemenangan GRS petanda baik kepimpinan PN di peringkat Pusat

Muhammad Sanusi Md. Nor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pilihan raya negeri (PRN)  negeri itu memberi petanda baik kepada kepimpinan Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kemenangan itu menunjukkan rakyat Sabah telah memberi signal jelas mengenai Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurutnya, pengundi di Sabah tampak yakin dengan kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Bagaimanapun dalam keadaan yang cukup mencabar kini, saya tidak fikir kita perlu adakan PRU pula. 

“Dalam keadaan sekarang, langkah untuk mengadakan PRU perlu diletak di belakang kerana banyak perkara perlu diberi tumpuan memandangkan ancaman Covid-19 melibatkan banyak sektor termasuk nyawa rakyat dan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima taklimat mengenai pelaksanaan pengawasan ketat terhadap penduduk Rumah Pangsa Tongkang Yard, Seberang Perak di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kota Setar di sini hari ini.

Pada PRN Sabah semalam, GRS berjaya merampas tampuk pemerintahan negeri selepas menang 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding Warisan Plus memenangi 32 kerusi. 

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, tindakan Pas meminta penjelasan UMNO berhubung kenyataan berlakunya perubahan sokongan Ahli Parlimen UMNO terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan salah satu pendekatan yang diambil parti itu  demi kebaikan semua. 

Menurutnya, beliau yakin langkah tersebut tidak langsung menjejaskan hubungan antara dua parti Melayu terbesar itu.

“Kenyataan berhubung perubahan sokongan itu dibuat UMNO menerusi akhbar dan kita juga mendapat tahu tentang perkara itu hanya menerusi media.

“Jadi tak salah untuk Pas tanya secara terbuka supaya UMNO boleh menjelaskannya secara terbuka dan semua orang tahu jawapannya,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN