KUALA TERENGGANU: Kembara berbasikal dua sahabat dari Melaka bagi berkongsi cerita dan pengalaman tentang kemerdekaan meninggalkan kenangan manis apabila mereka berpeluang berjumpa individu yang pernah bersalaman dengan tokoh pejuang, Mat Kilau.
Ishak Mohamad, 58, berkata, dia dan rakannya, Md. Nasir Ahmad, 61, bertemu lelaki berusia lewat 70-an itu pada 1 September lalu ketika tiba di Kampung Budu, Kuala Lipis, Pahang.
Katanya, walaupun pertemuan berlangsung singkat, namun sedikit-sebanyak berjaya mencapai matlamat diinginkan dalam mengimbau sejarah kemerdekaan negara.
“Lelaki berkenaan bercerita tentang Mat Kilau dan mengakui pernah bersalaman dengannya yang ketika itu menyamar sebagai orang biasa.
“Pendek kata perjalanan selama 23 hari bermula 25 Ogos lalu bukan sekadar kembara sejarah tetapi kembara ilmu dan kami berjumpa pelbagai lapisan masyarakat bagi berkongsi cerita kemerdekaan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Kedua-dua pengayuh veteran itu tiba di bandar raya ini meneruskan perjalanan ke Kuantan, Pahang seterusnya Johor dan dijangka menamatkannya di Melaka pada 16 September.
Ishak yang merupakan bekas pegawai khas kepada bekas Pengerusi Rural Capital Berhad, Tan Sri Abu Seman Yusop berkata, program jelajah berbasikal tersebut merupakan kembara ketiga mereka sempena Hari Kebangsaan sejak 2018.
Katanya, kembara pertama mereka menunggang motosikal menjelajah Semenanjung Malaysia manakala kali kedua tahun lalu menaiki kereta.
Sementara itu, Md. Nasir berkata, penganjuran kembara sempena Hari Kebangsaan tahun depan dirancang diadakan di Sabah dan Sarawak dengan berjalan kaki.
“Saya sangat menghargai dan berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu sepanjang perjalanan kembara kami termasuk yang sudi memberi penginapan, makanan dan macam-macam lagi,” katanya. – UTUSAN