Kapal tangki ditahan Maritim Malaysia - Utusan Malaysia

Kapal tangki ditahan Maritim Malaysia

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, menahan sebuah kapal tangki sekitar 11 batu nautika timur laut Tanjung Penawar di Perairan Johor Timur, pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI:  Sebuah kapal tangki yang berdaftar di Panama ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana berlabuh tanpa kebenaran di Perairan Johor Timur di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan berkata, kapal tangki tersebut ditahan pada pukul 11.20 pagi oleh kapal ronda Maritim Malaysia yang melaksanakan pemeriksaan rutin Op Benteng.

“Kapal ini ditahan atas kesalahan berlabuh tunggu tanpa kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati kapal telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 361(6) OPS 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen insurans,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd Zulfadli lagi, kapal yang berdaftar di Panama itu dikendalikan oleh 15 kru termasuk nakhoda dengan sembilan daripadanya adalah warga China manakala enam lagi warga Indonesia dengan semua lelaki berumur antara 22 hingga 62 tahun.

“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya bagi Seksyen 491B(L) OPS 1952. 

“Manakala bagi Seksyen 361(6) OPS 1952 boleh didenda tidak kurang RM20 ribu dan tidak lebih RM100 ribu,” katanya.

Zulfadli menjelaskan lagi, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan sewajarnya dan sentiasa mempertingkatkan kawalan keselamatan.

“Ia demi memastikan perairan negara khususnya Perairan Johor Timur bebas daripada sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang-undang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya