Kampung Budaya Terengganu dibuka - Utusan Malaysia

Kampung Budaya Terengganu dibuka

AHMAD Samsuri Mokhtar berpakaian tradisional melihat aktiviti dan pengisian yang terdapat di Kampung Pekan Budaya Terengganu sejurus majlis perasmiannya di Muzium Negeri, Kuala Terengganu semalam. UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tarikan pelancongan terbaharu di ne­geri ini, Kampung Budaya Terengganu yang terletak di Muzium Negeri di Losong dekat sini dibuka secara rasmi kepada pengunjung mulai semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkampungan budaya yang berkonsepkan muzium hidup itu menghimpunkan pelbagai ke­senian, kebudayaan dan wari­san lapan daerah di negeri ini.

Katanya, orang ramai bukan sahaja berpeluang menikmati pengalaman percutian bersejarah dengan berlatarbelakangkan suasana kehidupan sebenar masyarakat Melayu zaman silam, malah dapat melihat secara dekat demonstrasi aktiviti tradisi yang diusahakan penduduk.

“Masyarakat Terengganu ka­ya dengan pelbagai tradisi mi­salnya permainan dan peralatan yang berbeza-beza di setiap daerah yang mungkin tidak pernah dilihat generasi hari ini.

“Jadi ini adalah kesempatan terbaik untuk pelancong datang sekali lagi ke Terengganu bagi melihat seni, budaya dan warisan negeri yang terdapat di Kampung Budaya,” katanya dalam sidang akhbar selepas me­rasmikan perkampungan itu.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman dan Pengarah Pelancongan negeri Ab. Rasid Jusoh.

Kampung Budaya Terengga­nu menawarkan tujuh perhen­tian iaitu Rumah Nelayan, Rumah Bujang Berserambi Selasar, Rumah Bujang Berkembar, Ru­mah Limas Belanda, Rumah Tele, Istana Tengku Long, Laman Singgahsana dan Laman Warisan.

Antara demonstrasi di­sedia­kan termasuk pembuatan jala, bubu, keropok, seni dan uki­ran khat, kayu, anyaman, wau, gasing, tembikar, tembaga, keris, pameran pakaian tradisional, mencanting batik, memasak bubur Asyura di samping persembahan berzanji.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, sehingga 6 September ini kemasukan ke Kampung Budaya adalah percuma dan selepas tempoh itu pengunjung akan dikenakan RM15 untuk dewasa dan RM10 (kanak-kanak).

Dalam perkembangan sama, Ariffin menjangkakan kunjungan 100,000 orang ke Kampung Budaya dalam tempoh sebulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya