KUALA NERUS: Kerajaan negeri akan melihat kewajaran untuk mengehadkan kemasukan pengunjung dalam satu-satu masa ke acara Kampung Budaya yang kini berlangsung di Muzium Negeri Losong di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, perkara itu akan diberi perhatian bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal sentiasa dipatuhi semua pihak.
Katanya, langkah mengehadkan jumlah pengunjung dalam satu-satu masa ke destinasi pelancongan sudah dilaksanakan di Santuari Ikan Kelah di Tasik Kenyir sebelum ini.
“Kampung Budaya Terengganu baru bermula dan kita akan tengok dalam tempoh tiga hari yang percuma ini sejauh mana sambutannya.
“Kita akan berbincang dan mungkin sampai masa nanti kita bakal mengehadkan kemasukan pelancong dalam satu-satu masa ke perkampungan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menutup Festival Kebudayaan Terengganu 2020 di Warisan Sari Tok Jembal di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengarah Pelancongan negeri, Ab. Rasid Jusoh.
Kampung Budaya Terengganu menjadi tarikan pelancongan terbaharu di negeri ini, yang menampilkan konsep muzium hidup dengan menghimpunkan pelbagai kesenian, kebudayaan dan warisan dari kesemua lapan daerah di negeri ini.
Dalam perkembangan sama, Ariffin berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau soal pematuhan SOP di pulau-pulau peranginan sekali gus memberi peringatan kepada pengusaha bot agar mengikut peraturan ditetapkan.
“Kita sudah menasihatkan mereka mematuhi SOP ditetapkan dan insya-Allah akan ada perbincangan berterusan agar isu-isu membabitkam keselamatan pengunjung tidak berlaku lagi,” katanya. – UTUSAN