GEORGETOWN : Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Timur Laut mencari waris seorang kanak-kanak lelaki yang dijumpai merayau-rayau di kawasan berhampiran jeti Weld Quay, di sini pada Jun 2011.
Menurut kenyataan JKM Daerah Timur Laut, kanak-kanak berkenaan dianggarkan berusia enam tahun ketika dijumpai.
“Memandangkan pada ketika itu tiada ahli keluarga atau waris yang tampil untuk menuntut kanak- kanak ini, Mahkamah Kanak-Kanak Georgetown telah memerintahkan agar kanak-kanak tersebut diletakkan dalam jagaan JKM.
“Kanak-kanak ini telah sembilan tahun berada di dalam jagaan JKM,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Kenyataan itu berkata, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai waris kanak-kanak yang dikenali sebagai Nazir itu diminta berhubung dengan Unit Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Timur Laut dengan kadar segera di talian 04-2264531 atau 04-2277412. – UTUSAN