Jemaah terkandas di Jeddah fail saman lebih RM600,000   - Utusan Malaysia

Jemaah terkandas di Jeddah fail saman lebih RM600,000  

MUHAMMAD Radhi Shariff Hussain (duduk, tengah) bersama sebahagian daripada kumpulan jemaah yang terkandas di Jeddah, Arab Saudi ketika mahu menunaikan haji tahun lepas menunjukkan laporan polis yang telah dibuat berhubung isu berkenaan dalam sidang akhbar di Butterworth, Pulau Pinang, semalam. Pic ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Kecewa dengan sikap ‘lepas tangan’ syarikat pengendali pakej umrah dan haji serta beberapa pihak berkaitan, 25 individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan nekad memfailkan tuntutan berjumlah RM634,400 kepada syarikat berkenaan.

Mereka merupakan jemaah haji yang terkandas berikutan dakwaan penggunaan visa palsu di Jeddah, Arab Saudi tahun lepas.

Jumlah tuntutan yang difailkan terhadap tujuh defendan itu merupakan baki daripada keseluruhan RM795,000 bayaran pakej haji bernilai antara RM15,000 hingga RM50,000  yang belum dilunaskan sepenuhnya syarikat berkenaan.

Wakil jemaah, Muhammad Radhi Shariff Hussain, 56, berkata, selain tuntutan berkenaan, mereka turut menuntut beberapa ganti rugi lain termasuk ganti rugi khas, ganti rugi atas sebab memungkiri kewajipan berjaga-jaga, ganti rugi am, ganti rugi teladan serta ganti rugi teruk.

Pada masa sama, katanya, mereka juga mahu faedah pada kadar lima peratus setahun terhadap jumlah yang dihakimi yang dikira dari tarikh pemfailan writ sehingga tarikh penyelesaian penuh, kos atas dasar peguam cara dan anak guam serta apa-apa relif berkaitan yang difikirkan wajar, sesuai serta bermanfaat.

“Kami telah memfailkan saman ini pada 24 Ogos lalu dan tarikh pengurusan kes pertama dijangka pada 5 Oktober depan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurut laporan media pada 6 Ogos tahun lepas, kumpulan bakal jemaah haji itu terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz  gara-gara masalah teknikal pada visa haji furada atau visa persendirian yang mereka peroleh daripada agensi berkaitan yang menguruskan perjalanan ke sana.

Sehubungan itu, kesemua mereka terpaksa dihantar pulang ke Malaysia keesokan malamnya tanpa sempat menunaikan haji setelah semua urusan berkaitan selesai.

Dalam pada itu, Muhammad Radhi memberitahu, mereka terpaksa mengambil masa yang lama untuk memfailkan tuntutan itu sebelum ini disebabkan agensi yang bertanggungjawab berjanji membayar  wang yang dibelanjakan untuk tujuan mengerjakan haji sebelum ini.

Katanya, laporan polis juga telah dibuat secara berasingan oleh kesemua yang terlibat secara berperingkat-peringkat.

“Kami dijanjikan akan mendapat semula wang kami dalam tempoh tiga kali bayaran iaitu secara beransur-ansur, namun, sehingga kini, ada yang mendapat sebahagian sahaja dan ada yang tidak mendapat apa-apa langsung.

“Kami cuma mahukan wang kami kerana kebanyakan kami bukanlah orang senang. Ada yang bekerja sebagai nelayan, pesara kerajaan dan swasta serta ada yang bertahun-tahun mengumpul duit semata-mata untuk mengerjakan haji,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya