Jangan perbaharui lesen kuari - Utusan Malaysia

Jangan perbaharui lesen kuari

GOOI Hsiao Leung (kiri) menunjukkan peta dan lokasi Bukit Juru yang didakwa ditarah sejak 40 tahun lalu sehingga menjejaskan kehidupan penduduk di Kampung Sungai Semilang, Juru, Pulau Pinang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Kehidupan lebih 2,000 penduduk di lima kampung di sini semakin terjejas berikutan peningkatan operasi dan aktiviti kuari di Sungai Sembilang di sini baru-baru ini.

Kelima-lima kampung tersebut ialah Kampung Sungai Sembilang, Kampung Bukit Kecil, Kampung Sekolah, Kampung Bagan Nyiur dan Kuala Juru.

Sebahagian wakil penduduk mengambil inisiatif untuk membuat petisyen khas sebelum dihantar kepada kerajaan negeri bagi merayu memberhentikan operasi kuari terbabit.

Petisyen yang kini telah mengumpul lebih 478 tandatangan itu juga mahu kerajaan negeri tidak memperbaharui permohonan pihak pemaju kuari ber­kenaan yang sepatutnya tamat hujung tahun ini.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Sungai Sembilang, Suhaimi Ramli, 49, mendakwa, walaupun aktiviti kuari telah wujud sejak sekian lama, namun keada­an ketika itu masih terkawal kerana hanya beroperasi di ta­nah seluas 0.8 hektar berban­ding kira-kira 13 hektar sekarang.

“Selain debu dan habuk akibat aktiviti kuari, penduduk dan pengguna jalan raya berdepan risiko keselamatan kerana sering berselisih dengan puluhan lori yang keluar masuk ke kawasan kuari tersebut,” katanya kepada pemberita semalam.

Seorang lagi penduduk, Mohammad Anuar Ab. Hamid, 67, mendakwa, mereka berdepan dengan gegaran seperti gempa bumi hampir setiap hari menyebabkan ada kediaman rosak akibat aktiviti tidak terkawal itu.

“Saya pernah buat aduan dan bantahan mengenai isu ini pada 2013 kerana tanah saya bersempadanan dengan kuari bagaimanapun tiada apa-apa tindakan diambil,” katanya.

Tambahnya, susulan aktiviti kuari itu juga, beberapa lokasi menarik termasuk pantai Tanjung Batu semakin ‘tenggelam’ daripada pandangan.

Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung yang turun padang mendengar keluhan penduduk juga berharap kerajaan negeri dapat melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah tersebut.

“Kita bimbang sekiranya operasi kuari ini terus dibenar untuk beroperasi, maka beberapa lokasi ikonik lain di kawasan ini termasuk Bukit Juru juga akan le­nyap,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya