PASIR SALAK: Pengurusan Maahad Tahfiz Akademik Muhamadiah di Kampung Air Mati dekat sini berdepan kesukaran disebabkan jalan tar laluan masuk ke pusat pengajian itu rosak.
Pengurus maahad tahfiz itu, Shamsuddin Abdul Hamid, 56, berkata, jalan masuk ke pusat pengajian itu berlubang dan sering dinaik air jika berlaku banjir kilat.
Menurutnya, keadaan itu merbahayakan keselamatan pelajar yang berulang alik ke pusat pengajian itu serta penduduk yang menggunakan laluan tersebut.
“Kerosakan jalan ini sudah lama berlaku, paling ketara sejak banjir besar pada tahun 2014 dan keadaannya semakin teruk disebabkan ia dilalui kenderaan berat.
“Banjir yang sering berlaku menyebabkan keadaan jalan ini semakin teruk selain turapan yang tidak berkualiti,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurutnya, laluan berkenaan hanya diberikan perhatian apabila ada aduan daripada penduduk berkaitan ban pecah yang menyebabkan aliran air sungai masuk ke kawasan kampung.
Katanya, jalan itu bukan sahaja digunakan oleh penduduk untuk menghantar anak mereka belajar di pusat tahfiz berkenaan.
“Jalan ini perlu dibaiki segera kerana ia digunakan oleh pelajar yang berulang alik ke sini dari rumah mereka di Bukit Chawi sejauh kira-kira lima kilometer.
“Ini bukan hanya dapat memberi keselesaan kepada pelajar dan penduduk yang berulang alik menggunakan jalan itu malah dapat mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Seorang pelajar maahad tahfiz berkenaan, Ahmad Munir Muhammad Zainol, 11, berkata, dia takut untuk melalui jalan itu terutama jika hari hujan.
“Kalau hujan, tak nampak lubang di laluan ini. Lebih mencemaskan apabila melintasi jambatan yang dibawahnya air sungai mengalir dengan deras,” katanya.
Seorang penduduk, Zanuddin Yahya, 63, berkata, dia menghadapi kesukaran melalui jalan tersebut terutama untuk masjid dan ke tempat pergi.
“Keadaan lebih teruk apabila banjir kilat. Jalan yang berlubang dan berlumpur merbahayakan kenderaan,” katanya.-UTUSAN