IngKar PKPP: lesen kelab malam dibatalkan - Utusan Malaysia

IngKar PKPP: lesen kelab malam dibatalkan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen premis kelab malam sekiranya didapati beroperasi sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga Disember ini.

Peringatan tegas itu disampaikan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu tindakan tegas diambil susulan peningkatan sebanyak 600 kes ingkar arahan PKPP melibatkan aktiviti kelab malam.

Menurutnya,  Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon bantuan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengenakan tindakan tegas terhadap premis pusat hiburan yang beroperasi lebih masa termasuk menarik balik permit operasi.

“Kita pandang serius perkara ini kerana kelab malam paling banyak melanggar undang-undang semalam. Saya ingin tegaskan yang kelab malam dan pub masih belum boleh dibuka bahkan tindakan itu adalah salah di sisi undang-undang. Sedangkan di negara Eropah kelab malam juga masih belum beroperasi dan pengusaha premis itu di negara ini boleh dihadapkan ke mahkamah.

“Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP yang ditetapkan,” katanya dalam laporan harian perkembangan PKPP di sini hari ini.

PKPP yang memasuki hari ke-83 semalam, mendapati masih ramai individu yang mengingkari arahan kerajaan dengan 778 individu ditahan dan 98 daripadanya direman serta tujuh individu lagi dijamin manakala selebihnya 673 orang dikenakan kompaun.

Antara kesalahan yang dikenal pasti PDRM adalah aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal, gagal merekod butiran pelanggan, mematuhi arahan kuarantin, tidak memakai pelitup muka dan premis beroperasi lebih masa serta tanpa lesen perniagaan.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri memaklumkan, tabung Covid-19 menerima sumbangan sebanyak RM44.5 juta sejak dilancarkan pada 11 Mac lalu yang disumbangkan oleh institusi diraja, syarikat swasta serta rakyat tempatan.

“Daripada jumlah itu, RM31.5 juta dibelanjakan untuk Program Bakul Makan sebanyak RM25.2 juta, bantuan khas pengurusan kematian (RM595 ribu) dan bantuan khas hilang pendapatan (RM5.67 juta). Tarikh tutup permohonan bantuan khas itu dilanjutkan mengikut tempoh pelaksanaan PKP iaitu sebulan selepas PKP ditamatkan.

“Orang ramai boleh merujuk laman sesawang Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya