Imbasan kod QR isi Tabung Palestin - Utusan Malaysia

Imbasan kod QR isi Tabung Palestin

ZAMRI Hashim menurunkan tanda tangan sebagai gimik Pelancaran QR Code Tabung Palestin di Ipoh hari ini. -UTUSAN/ ZAKI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Aman Palestin memperkenalkan kaedah lebih mudah untuk orang ramai menderma bagi mengisi Tabung Palestin iaitu dengan mengimbas pada kod QR menerusi telefon pintar.

Buat permulaan, kaedah digital ini diperkenalkan di negeri Perak yang akan dituruti ke negeri-negeri lain.

Pengerusi Aman Palestin cawangan negeri Perak, Shaharuzzaman Bistamam berkata, kaedah mudah dan pantas ini dilihat sejajar dengan pembangunan era digital.

Menurut beliau, inisiatif itu juga memudahkan penderma menyalurkan sumbangan secara maya tanpa tunai pada bila-bila masa.

“Inisiatif ini untuk menyediakan sebuah platform bagi membantu penderma menyalurkan sumbangan ikhlas yang akan digunakan untuk membantu masyarakat di Palestin.

“Ia juga timbul berikutan pandemik Covid-19 apabila masyarakat berhadapan dengan kekangan pergerakan, jadi dipermudahkan dengan teknologi digital,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran QR Code Tabung Palestin di Dataran Silveritage Medan Gopeng di sini hari ini.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Mufti negeri Perak, Datuk Zamri Hashim.

Program ini dijalankan dengan kerjasama Persatuan Usahawan Silveritage dan MajuPerak Holdings Berhad.

Buat permulaan, kod imbasan QR ini akan diletakkan di lot-lot niaga di sini sebelum diperluaskan ke di premis-premis lain di bandar ini.

Penderma hanya perlu mengikut panduan yang tertera pada skrin telefon pintar dan tiada had maksimum sumbangan.

Sementara itu, Zamri berkata, pihaknya amat menyokong inisiatif Aman Palestin ini dan menyeru orang ramai supaya turut sama menyumbang bagi membantu masyarakat Palestin yang tertindas. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN