PASIR PUTEH: Seorang ibu tunggal di Kampung Padang Pak Amat, dekat sini, tabah menghadapi dugaan menjaga dua anaknya yang menghidap penyakit kanser kulit sejak mereka berusia belasan tahun.
Zainab Ag. Draman, 60, berkata, anaknya Muhammad Farhan Naim, 32, dan Muhammad Furizad, 30, bukan sahaja menghadapi ketumbuhan benjolan di seluruh badan tetapi tidak mampu berjalan dan gagal mengurus diri sendiri.
Menurutnya, Muhammad Farhan kini menggunakan kerusi roda manakala Muhammad Furizad hanya mampu bertongkat dan gagal mengimbangi badannya. Mereka juga perlu diurus untuk makan dan mandi.
“Anak bongsu saya, Siti Sarah juga menghidap penyakit yang sama termasuk paru-paru berair dan telah meninggal dunia pada 2 September lepas.
“Kesemua anak saya lahir normal dan membesar seperti kanak-kanak yang lain tetapi apabila memasuki usia belasan tahun mereka mulai ditumbuhi benjolan pada tubuh badan. Saya reda dengan ujian ini sebagai penguat semangat menatang kasih kepada mereka,” katanya.
Terdahulu Zainab dikunjungi pengasas Pertubuhan Bantuan Asnaf Cempaka Merah, Che Norhayati Mohamed yang tampil menyampaikan sumbangan atap Hidex dan mengupah tukang rumah menggantikan keseluruhan atap rumah wanita itu yang bocor, di sini hari ini.
Menurut Zainab, rumah usang yang menjadi tempat berteduh itu adalah peninggalan suaminya yang meninggal dunia 21 tahun lalu.
“Sebelum ini saya mengambil upah menjahit pakaian untuk menyara keluarga namun selepas anak-anak tidak mampu berdikari saya sukar untuk bekerja.
“Saya pernah berusaha menjual makanan dan minuman di hadapan rumah namun tidak mendapat sambutan kerana mungkin orang ramai jijik untuk membelinya apabila melihat keadaan yang menimpa anak-anak saya,” katanya.
Kini mereka bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 yang diterima oleh Muhammad Farhan serta sumbangan dari ahli keluarga dan rakan taulan.
“Perbelanjaan sekitar RM1,000 terpaksa disediakan untuk membeli makanan, lampin pakai buang dan kos ulang-alik ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh bagi rawatan susulan.
“Saya pernah kehabisan wang ketika kedua-dua dua anak dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) suatu ketika dahulu menyebabkan saya terpaksa berkongsi makanan hospital dengan mereka,” katanya.
Sementara itu, Che Norhayati berkata, pihaknya turut membantu Muhammad Furizad membuat rayuan dan permohonan mendapatkan pencen penakat atau ilat kekal dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi meringankan bebanan perbelanjaan bulanan.
Menurutnya, Muhamad Furizad pernah bekerja di Kilang Panasonic, Shah Alam, Selangor ketika berusia 27 tahun dan selepas empat tahun bekerja sebagai
penyelenggara stor di situ, dia terpaksa pulang ke kampung disebabkan komplikasi penyakit yang semakin kronik.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Zainab Ag. Draman, 03100-29-83414106-3 atau menghubungi beliau di talian 0179350982. -UTUSAN