Hawar berdarah dipercayai punca kematian 36 ekor kerbau milik Syukur - Utusan Malaysia

Hawar berdarah dipercayai punca kematian 36 ekor kerbau milik Syukur

Muhammad Syukur Khamis sebak memerhati kerbau ternakannya yang mati mengejut semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 36 daripada keseluruhan lebih 100 kerbau milik keluarga remaja yang terkenal dengan jolokan Mowgli Malaysia, Muhammad Syukur Khamis, 15, mati mengejut sejak Rabu lalu. 

Kesemua kerbau berusia antara dua hingga lima tahun itu mati di kandang yang terletak di Kampung Banggol Katong, Serada di sini dipercayai akibat penyakit hawar berdarah. 

Daripada jumlah itu, difahamkan tiga merupakan kerbau betina dewasa manakala bakinya adalah anak. 

Bapa Muhammad Syukur, Khamis Jusoh, 64, berkata, kematian berturut-turut kerbau peliharaannya itu memberi kejutan besar kerana itu pertama kali dialami sepanjang puluhan tahun mengusahakan ternakan tersebut. 

Katanya, jumlah korban terbanyak dicatatkan mulai semalam dengan 10 ekor yang mati serentak disusuli 11 lagi pagi ini. 

“Seumur hidup sepanjang saya menternak kerbau dari kecil tidak pernah kejadian  seperti ini berlaku. 

“Saya buntu tidak tahu apa puncanya tetapi doktor mengatakan akibat penyakit hawar berdarah cuma saya bimbang nasib kerbau yang lain kerana setakat ini kira-kira enam ekor tenat dan mungkin akan berdepan nasib sama,” katanya ketika ditemui pemberita di kandangnya di sini hari ini. 

Khamis berkata, akibat kejadian itu, dia kerugian hampir RM200,000 dan jumlahnya mungkin menjadi lebih besar jika lebih banyak kematian berlaku. 

Dalam perkembangan sama, dia juga bimbang keadaan anak bongsunya, Muhammad Syukur yang turut sama bersedih dengan kematian ternakan mereka. 

“Sudah seminggu Syukur tidak bersekolah dan saya pun risau dengan keadaannya di samping buntu memikirkan nasib kerbau-kerbau saya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya