Hasil laut Johor selamat dimakan - Utusan Malaysia

Hasil laut Johor selamat dimakan

HASIL laut di perairan Johor selamat dimakan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Perikanan Negeri menafikan pernah melarang orang awam daripada untuk memakan hasil laut seperti ikan dan kerang-kerangan yang didapati daripada perairan negeri ini. 

Pengarahnya, Noraishah Hashim berkata, ia berlaku susulan kekeliruan membabitkan satu notis dikeluarkan jabatan itu berkaitan kemunculan Ledakan Alga Berbahaya (HAB) di perairan Selat Tebrau. 

“Pejabat Perikanan Negeri Johor telah memaklumkan kehadiran HAB daripada spesies Alexandrium Minutum di Selat Tebrau melalui satu hantaran di laman Facebook rasmi pada 30 Ogos 2020. 

“Ekoran daripada itu, masyarakat umum mulai panik dan takut untuk membeli ikan dan kerang-kerangan di pasaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Tambah Noraishah, notis tersebut dikeluarkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat supaya lebih berjaga-jaga tentang kehadiran alga berbahaya berkenaan. 

“HAB tersebut hanya berlaku di Selat Tebrau Timur sahaja iaitu melibatkan perairan Kuala Masai-Teluk Jawa dan bukannya di keseluruhan perairan negeri ini. 

“Justeru itu, pejabat ini ingin memaklumkan bahawa notis tersebut tidak pernah melarang orang awam untuk memakan ikan dan kerang-kerangan di negeri ini,” ujarnya. 

Tambah beliau, pihaknya mendapati tiada lagi berlaku kehadiran HAB di kawasan terlibat namun pemantauan berterusan akan terus dibuat. 

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung perkara itu boleh hubungi Pejabat Perikanan Negeri Johor di talian 07-5104808. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN