BALING: Lebih 1,000 penduduk di Kampung Paya dan Kampung Sungai Limau di sini bimbang apabila hakisan tebing Sungai Ketil semakin serius sehingga merosakkan jalan yang menjadi laluan alternatif.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tebing sungai semakin ‘runtuh’ selain struktur jalan mini tar sejauh kira-kira 10 meter mengalami kerosakan teruk.
Seorang penduduk Kampung Paya, Mohd. Romzi Ahmad, 31, berkata, tebing mengalami hakisan serius setiap kali berlaku banjir di kawasan tersebut.
“Selain hakisan, permukaan jalan alternatif yang menjadi laluan penduduk di Kampung Paya dan Kampung Sungai Limau juga mengalami kerosakan.
“Jika dahulu, jarak antara tebing sungai ke jalan mini tar melebihi 10 meter tetapi kini hanya tinggal kira-kira satu meter sahaja,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi penduduk, Zainab Yaacob, 47, berkata, hakisan sudah mencecah separuh jalan mini tar dan keadaan itu mengancam keselamatan penduduk terutama pelajar sekolah yang menggunakan laluan tersebut.
“Jalan ini menjadi pilihan pelajar kerana paling dekat untuk ke sekolah dan digunakan orang ramai untuk beriadah bersama keluarga selain itu tumpuan para pelancong serta pendaki ke Gunung Pulai.
“Jika tidak dibaik pulih segera dibimbangi akan mengundang bahaya,” katanya. – UTUSAN